'Pas tak boleh keluar fatwa wajibkan sokong mereka' - Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak boleh mengeluarkan fatwa untuk mewajibkan rakyat menyokong mereka atas keyakinan palsu bahawa parti tersebut satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara tersebut sekali gus menafikan demokrasi dan keluasan ijtihad berparti dan berorganisasi dalam Islam dan negara.

Beliau menegaskan, ia juga merupakan punca berlakunya keganasan antara pendukung parti ketika pilihan raya.

“Pas boleh mendakwa mereka parti Islam tetapi tidak wajar mengakui hanya mereka satu-satunya parti Islam lalu menafikan keislaman orang lain.

“Islam dan perjuangan Islam adalah milik bersama semua muslim yang berpolitik memperjuangkan Islam menerusi parti politik.,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Mohd Khairuddin menambah, perubahan iklim politik di Malaysia terutama melibatkan Pas itu sendiri akan memberi masalah kepada pihak lain yang menjalin kerjasama dengan mereka.

Ia dilihat jelas ketika parti berkenaan bersama UMNO dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) yang mana tiada tuduhan bersifat takfir dihalakan kepada mereka.

Namun, sebaik sahaja parti utama bangsa Melayu itu ‘bertarung’ dengan Pas dalam arena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ucapan ‘neraka jika mengundi selain Pas kembali dihidupkan.

“Hari ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

"Jika satu hari nanti Bersatu tidak lagi bersama Pas, tempias menidakkan keislaman orang lain ini juga akan menimpa Bersatu,” ujar beliau.