Korea Utara lancar projektil ke Laut Jepun

Rakaman pelancaran peluru berpandu oleh Pyongyang sebelum ini ditayangkan program berita Korea Selatan hari ini.
A
A

SEOUL - Korea Utara telah melancarkan projek tidak dikenali hari ini yang merupakan pelancaran peluru berpandu jarak dekat pertama oleh Pyongyang selepas ujian senjata kontroversi dihentikan sejak lebih setahun lalu.

Ketua Turut Bersama Korea Selatan memaklumkan beberapa projektil jarak dekat dilancarkan dari Semenanjung Hodo berhampiran bandar pantai timur Wonsan ke arah timur laut bermula jam 9.06 pagi hingga 9.27 pagi (waktu tempatan).

"Pelancaran itu berada pada jangkauan 70 hingga 200 kilometer menuju ke Laut Timur atau Laut Jepun.

Difahamkan, kali terakhir Korea Utara melancarkan peluru berpandu ialah pada November 2017.

Ujian terbaharu itu dibuat sehari selepas Menteri Luar Korea Selatan, Kang kyung-wha berkata, Pyongyang perlu mempamerkan tindakan penolakan yang jelas, konkrit dan teguh dalam langkah nyahnuklear jika ia mahu sekatan ke atas negara itu dilonggarkan.

Awal minggu lalu, Timbalan Menteri Luar, Choe Son Hui turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat tentang 'keputusan tidak diingini' jika ia tidak mengubah pendiriannya terhadap sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Pyongyang.

Sementara itu, penganalisis Korea Utara, Ankit Panda memaklumkan pelancaran projektil itu tidak melanggar perjanjian pemimpin Kim Jong-un untuk menggantung ujian peluru berpandu kerana ia hanya berkuatkuasa terhadap peluru berpandu balistik antara benua.

Rumah Putih mengesahkan ia telah dimaklumkan tentang pelancaran tersebut dan akan terus memantau situasi itu jika perlu.

Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Pertahanan Jepun memberitahu tiada pengesahan peluru berpandu balistik memasuki wilayah negara tersebut. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia