Lima empangan rekod stok air mentah membimbangkan

Empangan Muda di Kedah merekodkan stok simpanan air mentah berada pada paras kritikal.
Empangan Muda di Kedah merekodkan stok simpanan air mentah berada pada paras kritikal.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa empangan merekodkan penyusutan stok simpanan air mentah di tahap membimbangkan susulan Monsun Barat Daya yang melanda negara sejak 15 Mei lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, Empangan Muda di Kedah menunjukkan paras simpanan air berada pada paras kritikal iaitu 30.48 peratus minggu ini berbanding 32.87 peratus minggu lalu.

Selain itu, empat empangan lain turut menunjukkan baki stok simpanan air pada paras amaran iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis (45.65 peratus); Empangan Malut, Kedah (46.70 peratus), Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang (44.5 peratus) dan Empangan Sembrong Barat, Johor (46.66 peratus).

"Jabatan Pengaliran dan Saliran meramalkan keadaan cuaca sebegini akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air di Kedah (Sik, Baling, Kulim), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara), Melaka (Alor Gajah, Melaka Tengah), Kelantan (Kuala Krai, Gua Musang, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas) dan Sarawak (Bintulu).

"Pemantauan Jabatan Alam Sekitar menyaksikan Cheras (Kuala Lumpur), Port Dickson (Negeri Sembilan), Shah Alam dan Klang (Selangor) merekodkan kualiti udara yang tidak sihat akibat cuaca panas dan kering berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nadma turut memaklumkan, terdapat empat daerah iaitu Jempol di Negeri Sembilan, Kuala Krai (Kelantan), Rompin (Pahang) serta Betong (Sarawak) mencatatkan cuaca panas tahap satu sepanjang minggu lalu.

Sementara itu, sebanyak 53 kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan strok haba (lima kes), kelesuan haba (29 kes) dan kejang haba (19 kes) sehingga Isnin.

Menurutnya, semua kes berjaya dirawat dan pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala tiada kematian baharu dilaporkan pada hari ketujuh Minggu Epid (ME) 25/2023.

"Ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal satu kes sahaja yang dilaporkan pada 25 April lalu.

"Masyarakat diingatkan untuk peka serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta pastikan merujuk kepada portal MetMalaysia, KKM dan Nadma untuk maklumat yang terkini dan sahih," kata kenyataan itu.