Keputusan PRN tidak ubah pentadbiran pusat - Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
A
A
A

PONTIAN - Sebarang keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri tidak akan mengubah pentadbiran Persekutuan dipimpin Kerajaan Perpaduan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, biarpun terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan, namun keputusan PRN enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi sama sekali tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan.

"Saya ingin menyatakan, memang terdapat usaha-usaha dilakukan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. Namun apa juga keputusan pada PRN kelak ia tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran pusat.

"Sama ada Perikatan Nasional (PN) menang sedikit atau Kerajaan Perpaduan menang banyak pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu, ia tidak akan ubah 148 kerusi di Dewan Rakyat," katanya.

Ahmad (dua dari kanan) bergambar bersama pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Benut pada Ahad.
Ahmad (dua dari kanan) bergambar bersama pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Benut pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Asperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut pada Ahad.

Ahli Parlimen Pontian itu, menambah usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan selama hampir tujuh bulan mentadbir kerajaan memberi keyakinan kepada rakyat.

"Saya yakin perkara itu (jatuhkan kerajaan) tidak akan berlaku kerana usaha yang terbaik untuk rakyat dan negara sudah dilakukan kerajaan.

"Dari segi segi ekonomi ada banyak yang memberangsangkan sebagai contoh daya saing dunia untuk Malaysia meningkat kepada lima anak tangga daripada kedudukan 32 kepada 27.

"Selain itu, inflasi dan pengangguran juga menunjukkan penurunan. Kemudian dari segi defisit pula kerajaan berusaha untuk menurunkannya daripada 5.6 peratus kepada 5.0 peratus," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan wujudnya persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan akan tumbang pada Ogos ini, yang menyebabkan para pelabur asing takut untuk melabur di Malaysia.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun kunjungan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ke Hong Kong baru-baru ini dilihat positif, namun ada dalam kalangan pelabur memaklumkan masih melihat kestabilan Kerajaan Perpaduan selepas dakwaan beliau akan dijatuhkan.