RUU kawalan merokok perlu dibentang secepat mungkin - Dr Zaliha


Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa meminta semua pihak menyokong usaha untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dapat dibentangkan di Parlimen dalam persidangan akan datang.

Beliau berkata, melalui langkah perundangan ini, ia diharapkan akan dapat melahirkan generasi muda Malaysia bebas daripada sebarang bentuk tabiat merokok yang dikenali sebagai Generasi Penamat Rokok melibatkan golongan remaja lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

Katanya, tinjauan kesihatan remaja melibatkan golongan anak muda berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan pengguna peranti merokok elektronik daripada 211,084 orang pada tahun 2017 kepada 301,109 orang pada tahun 2022.

"Ini belum mengambil kira penggunaan rokok konvensional yang melibatkan kumpulan remaja ini iaitu seramai 186,817 orang pada tahun 2022. Data yang dikongsikan ini merupakan satu senario nyata yang menuntut keprihatinan dan tindakan secara bersama semua pihak.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalannya Lukanisman Awang Sauni pada Majlis Perasmian Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaaan di sini pada Ahad.

Dr Zaliha berkata, Malaysia menyaksikan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, dan NCD ini sebenarnya boleh dicegah melalui pembudayaan hidup sihat antaranya dengan tidak mengamalkan tabiat merokok.

Beliau berkata, tinjauan itu juga menunjukkan bahawa dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian setiap tahun di negara ini adalah akibat tabiat merokok setiap tahun.

Katanya, pada masa yang sama kementeriannya juga memberikan perhatian kepada peningkatan trend penggunaan rokok elektronik dan vape iaitu prevalen sebanyak 4.9 peratus yang bersamaan dengan 1.13 juta pengguna dalam kalangan dewasa. - Bernama