Kesejahteraan penghuni patut diutama pemaju PPR

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa yang terlibat dalam pembinaan kawasan perumahan khasnya melibatkan pembangunan penempatan untuk golongan B40 atau miskin bandar perlu mengambil kira aspek kesihatan mental dan kesejahteraan penduduknya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu penting bagi memastikan isu berkaitan mental dalam kalangan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) diambil kira oleh pemaju mahupun pihak berkuasa tempatan dalam perancangan projek perumahan dan menyediakan kawasan untuk beriadah yang boleh membantu pembangunan mental.

"Tidak dinafikan kebanyakan PPR kurang tempat beriadah, kawasan melakukan aktiviti fizikal dan kawasan bagi melepaskan lelah dan keletihan di samping pembinaan kawasan tempat tinggal yang terkurung dan sempit.

“Setiap pihak yang terlibat dalam pembinaan penempatan harus mengambil kira aspek kehidupan ini. Pembangunan PPR yang keluasan rumah 600 per segi ke 800 per segi cukup sempit untuk melelahkan kehidupan golongan miskin bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa sebanyak 13.4 peratus golongan remaja dan kanak-kanak yang menginap di PPR kawasan Lembah Klang mempunyai masalah kesihatan mental.

Kajian tersebut menyatakan jumlah kanak-kanak dan remaja itu cenderung membunuh diri mahupun mencederakan diri mereka selain 12.3 peratus mengalami masalah kemurungan dan keresahan.

Tambahnya lagi, ruang terbuka untuk aktiviti fizikal dan riadah perlu disediakan bagi melepaskan lelah dan meluahkan resah bagi mengelakkan kesejahteraan mental terganggu.

“Kanak-kanak dan remaja khususnya yang masih belum mempunyai keupayaan dan ketahanan mental yang kukuh memerlukan sokongan kaunseling semua pihak untuk memastikan mereka mampu membesar dan menjalani kehidupan yang sejahtera hingga meningkat dewasa,” ujarnya.