Peruntukan RM23,500 untuk mangsa ribut

Muhamad Arafat (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut berhampiran Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu.
Muhamad Arafat (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut berhampiran Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kesemua mangsa yang terjejas akibat ribut di empat lokasi di Mukim Hulu Kinta menerima bantuan kewangan melibatkan peruntukan keseluruhan RM23,500.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, peruntukan tersebut melibatkan sumbangan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun dan Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta melibatkan 39 penerima.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta juga turut memberikan sumbangan RM200 kepada 20 mangsa ribut yang layak.

"Kita juga akan bincang dengan penghulu dan ketua kampung bagaimana nak bantu mangsa ini contohnya kita bayar kepada pembekal atap mangsa terlibat boleh ambil dan pasang atau jika penduduk sudah siap baik pulih, mungkin kita akan bayar (kos baik pulih).

"Tapi jumlah itu tak pasti kerana kita akan bincang dengan pegawai daerah serta penghulu untuk ambil pandangan mereka apa yang perlu dilakukan dan berdasarkan itu kita akan beri sumbangan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Gotong-Royong Mega 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Perak di Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu.

Muhamad Arafat berkata, sebahagian mangsa tidak menerima bantuan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta itu disebabkan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dalam kejadian ribut yang berlaku pada petang Khamis sebanyak 17 rumah dan enam gerai yang terjejas di Taman Perpaduan, tujuh rumah di Taman Mewah, enam rumah di Kampung Batu 5 manakala tiga rumah lagi di Kampung Batu 6.

Kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan kepada mangsa ribut berkenaan.