Penipuan Forex: Polis tahan 77 individu

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 77 individu kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan penukaran mata wang atau Forex dalam talian, di sebuah kondominium sekitar Lembah Klang, semalam.

Kesemua mereka yang ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Bahagian Risikian/Operasi ialah 43 lelaki dan 34 wanita, berumur dalam lingkungan 17 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sindiket berkenaan, menyasarkan pelabur dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, hasil siasatan awal terdapat unsur penipuan pelaburan Forex dalam talian, dengan menggunakan laman sesawang.

"Polis turut merampas antaranya 35 set komputer, 29 unit komputer riba, satu unit tablet, 20 unit telefon bimbit, 38 pas pekerja.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/120 Kanun Keseksaan, manakala kesemua suspek direman mulai 23 sehingga 24 Jun 2023 bagi tujuan siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Amihizam meminta orang ramai membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman webhtpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang transaksi.

Selain itu, orang ramai juga diminta melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. - Bernama.