'Kanopi terbang hingga atas bumbung'

Nashrun mengumpul peralatan gerainya yang rosak akibat ribut di Taman Perpaduan di sini pada Jumaat.
Nashrun mengumpul peralatan gerainya yang rosak akibat ribut di Taman Perpaduan di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kejadian ribut yang melanda Taman Perpaduan di sini pada petang Khamis menerbangkan sebahagian bumbung rumah kira-kira 17 rumah penduduk.

Seorang mangsa, Nor Azahar Zulkifli, 36, yang berada di rumah sewaktu kejadian memaklumkan, ketika itu hujan lebat sebelum angin kuat melanda kawasan tersebut sehingga menerbangkan sebahagian bumbung rumahnya.

Keadaan bahagian bumbung rumah Nor Azahar yang diterbangkan ribut dalam kejadian pada petang Khamis.
Keadaan bahagian bumbung rumah Nor Azahar yang diterbangkan ribut dalam kejadian pada petang Khamis.

Dia pada awalnya tidak menyangka kerosakan bumbung rumahnya seteruk itu kerana ketika kejadian terpaksa bergegas membantu isteri, Asmaliza Fazin, 26, yang sedang berniaga memaklumkan khemah diterbangkan angin.

"Apabila pulang ke rumah selepas itu, air menitik masuk di bahagian bawah manakala di tingkat atas sudah dipenuhi air kerana sebahagian besar bumbung sudah tercabut akibat ribut.

"Saya anggarkan kerugian lebih kurang RM10,000 termasuk kerosakan perabot dan perkakas elektrik selain sistem pendawaian rumah turut terjejas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perpaduan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, seorang peniaga, Nashrun Ismail, 54, turut terkesan dengan kejadian ribut tersebut apabila hampir kesemua peralatan termasuk khemah rosak dipukul ribut.

Dia sendiri melihat khemah kanopi di kedainya diterbangkan angin sehingga ke atas bumbung rumah sebelum masuk ke dalam rumah untuk berlindung.

"Saya memang meniaga sepenuh masa kedai ini. Mujurlah kedai hanya buka pada waktu pagi, jadi tak adalah pelanggan masa kejadian ribut berlaku.

"Sejak lapan tahun meniaga, ini kejadian ribut paling buruk pernah saya alami. Selama ini memang ada berlaku angin kuat tetapi tidaklah sampai khemah terbang.

"Sedih tu memang sedih sebab ini sumber pendapatan kami sekeluarga bergantung kepada kedai makan ini, tapi saya reda dengan ujian ini," katanya.

Dia berkata, laporan polis sudah dibuat malah wakil rakyat dan wakil dari Pejabat Ahli Parlimen Tambun sudah datang melawat.

"Harap adalah bantuan untuk kami," katanya.

Dalam pada itu, selain rumah dan kedai, bencana tersebut turut mengakibatkan kerosakan di bahagian bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan Perpaduan di sini namun kejadian tersebut tidak membabitkan bilik darjah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang melawat mangsa ribut memaklumkan pihaknya bersama-sama Pejabat Ahli Parlimen Tambun serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta telah menerima laporan kejadian daripada mangsa terlibat.

Muhamad Arafat (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nor Azahar (dua dari kanan) ketika melawat mangsa ribut di Taman Perpaduan pada Jumaat.
Muhamad Arafat (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nor Azahar (dua dari kanan) ketika melawat mangsa ribut di Taman Perpaduan pada Jumaat.

Menurutnya, sumbangan segera akan disalurkan kepada mereka yang terjejas dan jumlah keseluruhan premis terlibat adalah 39 buah melibatkan 33 rumah dan enam gerai.

Dalam kejadian itu selain 17 rumah, terdapat enam gerai yang turut terjejas di Taman Perpaduan, tujuh rumah di Taman Mewah, enam rumah di Kampung Batu 5 manakala tiga rumah lagi di Kampung Batu 6.