[VIDEO] Pengurusan operasi haji sistematik, bertaraf antarabangsa

Mohd Na'im (kanan) melancarkan program Kebersihan Masyair di Makkah pada Khamis.
Mohd Na'im (kanan) melancarkan program Kebersihan Masyair di Makkah pada Khamis.
A
A
A

MAKKAH - Perkhidmatan Tabung Haji (TH) menyantuni jemaah haji Malaysia di Tanah Suci adalah sistematik dan bertaraf antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, pengalaman sendiri mengikuti perjalanan seperti jemaah lain bermula dari tanah air hingga tiba di Tanah Suci menunjukkan operasi TH disusun dengan rapi.

"Saya bukan sekadar terima laporan tapi lalui sendiri perjalanan ke sini yang secara keseluruhannya menepati objektif untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada jemaah untuk mendapatkan haji yang mabrur," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, banyak perkhidmatan dan penambahbaikan dilakukan oleh TH dan beliau tertarik dengan aspek kebajikan yang diutamakan terhadap jemaah haji.

"Antara inisiatif saya puji ialah Safari Wukuf iaitu satu khidmat melibatkan tugas membawa jemaah yang terlantar dengan bas ke Arafah agar mereka dapat menyempurnakan ibadah haji.

"Banyak lagi inisiatif yang dilakukan petugas haji semasa operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang disusun dengan baik agar semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Sementara itu, dalam satu program Pelancaran Kebersihan Masyair pada Khamis, Mohd Na'im memberikan penarafan lima bintang kepada TH dari sudut komitmen dan pembaharuan dalam menyantuni Duyufurrahman.

Mohd Na'im berucap semasa pelancaran Program Kebersihan Masyair di Makkah pada Khamis.
Mohd Na'im berucap semasa pelancaran Program Kebersihan Masyair di Makkah pada Khamis.

Kata beliau, usaha yang dibantu petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu membuktikan bahawa TH sentiasa mengutamakan kebajikan jemaah haji.

"Syabas kepada TH yang sentiasa kreatif menganjurkan pelbagai program dan kira-kira 25 pendekatan dilakukan untuk memberikan khidmat terbaik kepada jemaah haji.

"Dalam proses itu juga setiap maklum balas jemaah mengenai sebarang kekurangan dari segi penginapan, makanan, pengangkutan terus ditambah baik untuk musim haji depan," katanya.

Mengulas mengenai maklum balas pihak Arab Saudi berkenaan cadangan Simposium Haji Perdana untuk diadakan di Malaysia, Mohd Na'im berkata, pihaknya telah menerima respons yang positif.

"Saya dapat berhubung dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah dan beliau akan bantu Malaysia supaya dapat menjadi penganjur di peringkat Asia Tenggara.

"Kita akan adakan perbincangan lanjut dan TH sudah bersedia untuk laksanakannya dan kita harap selepas ini hubungan Malaysia dan Arab Saudi akan bertambah erat," katanya.