MA63: Usaha memperjuangkan hak perlu berdasarkan fakta tepat

Armizan
Armizan
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan parti politik di Sabah mempolemik dan memutarbelit fakta berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sehingga mengelirukan rakyat tidak membawa sebarang faedah sebaliknya menyukarkan usaha kerajaan merealisasikan hak terkandung dalam perjanjian itu dengan berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tekad dan komitmen memperjuang hak serta kepentingan Sabah melalui MA63 seharusnya datang bersama tanggungjawab memastikan setiap fakta dikemukakan terutama kepada Kerajaan Persekutuan adalah tepat.

"Hujahan kita kepada Kerajaan Persekutuan perlu berlandaskan bukti dan asas perundangan yang tepat untuk memastikan keabsahan tuntutan kita sekali gus membawa hasil bermanfaat. Rakyat Sabah memerlukan hasil berbentuk manfaat dan bukan sekadar keluaran retorik politik disulami kesilapan fakta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi interaksi bersama Majlis Perundingan Pelajar Sabah anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar), Jabatan Ketua Menteri dan Gerakan Mahasiswa Sabah di sini, hari ini.

Armizan berkata, Kerajaan Sabah ketika ini tidak pernah berhenti memperjuang hak negeri itu termasuk menuntut kenaikan kadar pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan menerusi penyelesaian interim bermula dengan kadar RM125 juta setahun pada tahun lepas.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan pada tahun ini kadar itu akan ditingkatkan kepada RM300 juta kerana keperluan kita cukup besar di Sabah. Kita perlu bersatu agar kadar pemberian khas itu terus dipertingkatkan lagi untuk menyelesaikan isu berbangkit di Sabah," katanya.

Mengenai majlis itu, Armizan berkata, program interaksi bersama pemimpin pelajar seumpama itu merupakan platform terbaik bagi memberi penerangan mengenai MA63 seterusnya memastikan generasi muda memahami secara lebih komprehensif pelaksanaan serta tindakan melibatkan perjanjian berkenaan. - Bernama