Keputusan semakan kehakiman kes reman OCPD 7 Julai

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan 7 Julai depan untuk keputusan semakan kehakiman yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan reman ke atas seorang ketua polis daerah di negeri ini yang ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lebih RM1 juta, 7 Jun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan tarikh itu pada Khamis selepas mendengar hujah pihak SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam, Datuk Bob Arumugam yang mewakili responden.

Rifah Izzati dalam hujahannya berkata, semakan kehakiman itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Majistret itu yang menolak permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dikemukakan SPRM terhadap suspek memandangkan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, permohonan reman itu ditolak dengan alasan terdapat peruntukan khusus di bawah Seksyen 49 Akta SPRM 2009 bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang memutuskan Seksyen 117 KTJ tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah Akta SPRM.

"Dihujahkan bahawa, keputusan dibuat Majistret itu terkhilaf dan terkeliru dalam memahami peruntukan Seksyen 67 Akta SPRM yang bukan 'non-obstante' kepada pengecualian pemakaian KTJ bagi kesalahan di bawah Akta SPRM.

"Keputusan Mahkamah Majistret itu juga secara tidak langsung menyekat dan menafikan kuasa pegawai SPRM untuk menyiasat aduan kes di bawah agensi itu," katanya.

Sementara itu, Bob dalam hujahnya berkata, keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan reman dikemukakan SPRM sebelum ini betul dan tidak terkhilaf dari segi undang-undang.

Menurutnya, SPRM tidak boleh bergantung kepada KTJ memandangkan Akta SPRM jelas memperuntukkan kuasa khusus kepada agensi itu untuk proses siasatan.

"Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan untuk permohonan reman sebelum ini, saya percaya SPRM tidak menjalankan siasatan secara terperinci apabila menyebut suspek melakukan kesalahan antara 2017 hingga 2022 sedangkan anak guam saya dilantik sebagai ketua polis daerah berkenaan pada 2018," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang ketua polis daerah di Pahang ditahan kerana disyaki menerima suapan dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022

Suspek disyaki menerima suapan bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Bagaimanapun pada 7 Jun lalu, pegawai kanan polis itu dibebaskan dengan jaminan bon SPRM selepas permohonan untuk mendapatkan perintah tahanan ke atas suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ditolak mahkamah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!