Kelindan maut, lori langgar belakang treler

Kelindan lori maut manakala pemandunya cedera ringan selepas kenderaan mereka melanggar bahagian belakang treler di Teluk Intan. - Foto Ihsan PDRM
Kelindan lori maut manakala pemandunya cedera ringan selepas kenderaan mereka melanggar bahagian belakang treler di Teluk Intan. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang kelindan maut selepas lori yang dinaikinya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 8, Jalan Teluk Intan-Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu telah mengorbankan Abdul Nasir Imran, 60, manakala pemandu lori berusia 30 tahun cedera ringan di kepala.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati, treler berkenaan mengalami kerosakan teknikal telah berhenti di atas jalan.

"Tiba-tiba lori yang dinaiki mangsa dari arah belakang telah merempuh bahagian bucu kanan belakang treler terbabit.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pemandu lori yang mengalami cedera ringan telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk dibedah siasat.

"Pemandu dan kelindan treler masing-masing berusia 33 dan 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya.

Ahmad Adnan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kenderaan terlibat ditahan untuk dihantar pemeriksaan Puspakom dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.

"Orang ramai yg mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hanif Ghazali di talian 013-8211978," katanya.