Tangkap layar perbualan Ebit, pengadu didedahkan

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

A
A
A

TENOM - Analisis telefon bimbit milik pengadu berhubung tangkap layar perbualan dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, didapati bermula sejak 4 Mac 2021.

Perkara itu didedahkan oleh Juruanalisis Kanan Audio/Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Selangor, Asisten Superitenden Latifah Abdul Aziz di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah pada Rabu.

Latifah yang hadir sebagai saksi ketujuh pendakwaan memberitahu mahkamah, tangkap layar yang diperoleh daripada telefon bimbit itu bertanda NA-1 menunjukkan bahwa perbualan melalui aplikasi WhatsApp bermula pada 4 Mac 2021.

Ia antara perkara dijelaskan oleh saksi berkenaan berdasarkan 219 gambar tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang disimpan dalam sebuah cakera padat DVD-R.

Cakera padat itu juga merupakan salah satu bahan bukti dalam kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang mengetuai pemeriksaan utama turut meminta penjelasan saksi mengenai tangkap layar yang memaparkan nombor 02:28 am dalam gambar tangkap layar pertama.

Saksi menjelaskan nombor itu merujuk kepada masa mesej berkenaan dihantar kepada penerima (pengadu).

Gambar tangkap layar yang dipaparkan juga menunjukkan terdapat panggilan suara yang tidak dijawab pada dua tarikh berbeza yang dilakukan oleh pengirim mesej (Ebit) kepada penerima (pengadu).

Perbicaraan pada sesi kali ini berlangsung tanpa kehadiran Ebit Lew kerana peguamnya memaklumkan Ebit sedang menunaikan ibadah haji di Makkah.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria.

Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak.