Mahasiswa perlu berani tampil idea baharu


Muhammad Nasir (lima dari kanan) bersama Muhd Zu Azhan (enam dari kanan) bersama pensyarah dan mahasiswa UPNM pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Muhammad Nasir (lima dari kanan) bersama Muhd Zu Azhan (enam dari kanan) bersama pensyarah dan mahasiswa UPNM pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahasiswa yang mahu menceburi bidang keusahawanan perlu berani mengenengahkan elemen baharu serta segar untuk kekal relevan pada masa akan datang.

Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, dalam dunia perniagaan tidak semua yang dirancang akan kekal dan berjaya selamanya melainkan mempunyai perancangan rapi untuk terus maju.

Menurut beliau, jika dahulu orang minat untuk beli dan baca buku secara fizikal tetapi sekarang tidak lagi apabila segala sumber maklumat diambil alih oleh media sosial.

Muhammad Nasir berucap pada Karnival Minggu Keusahawanan di UPNM pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Muhammad Nasir berucap pada Karnival Minggu Keusahawanan di UPNM pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

“Terbukti dengan kewujudan banyak portal berita, laman web dan sebagainya mempengaruhi cara khalayak bertindak daripada suka membeli buku dan surat khabar kini mereka beralih kepada bahan bacaan dalam talian.

“Bisnes juga sudah beralih kepada media sosial, jadi kita perlu pandai menyesuaikan diri dengan teknologi yang ada dan pastinya setiap cara itu ada buruk dan baik yang harus dikuasai dan dipelajari,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Karnival Minggu Keusahawanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini pada Rabu.

Karnival anjuran Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan Pusat Pembangunan Keusahawanan &Inovasi dengan kerjasama Fakulti Sains & Teknologi Pertahanan dan Fakulti Kejuruteraan/ Pusat Bahasa,

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Profesor Dr Muhd Zu Azhan Yah; Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Inovasi, Sarina Abdul Rani; Timbalan Dekan (Akademik dan Prasiswazah), Dr Salma Yusof dan Profesor Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Dr Mohd Abdullah Jusoh.

Tegas Muhammad Nasir, usahawan perlu menguasai bidang yang diceburi tanpa mengharapkan orang tengah ataupun staf.

Muhd Zu Azhan menyerahkan cenderahati kepada Muhammad Nasir. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Muhd Zu Azhan menyerahkan cenderahati kepada Muhammad Nasir. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

“Kalau nak jadi usahawan kuih bahulu sebagai contoh, kena kita sendiri yang beli dan cari bahan-bahannya, kena tahu cara hendak bakar baru bisnes boleh berjaya,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan mahasiswa untuk terus berdaya saing dan membuka minda agar tidak terus terperosok di bawah paras kemiskinan.

“Perlu diingat jangan terlibat dalam perkara atau amalan yang boleh menjatuhkan moral dan agama yang kita pegang selama ini.

“Perlu ada integriti, sentiasa berpegang kepada halal dan haram agar apa yang kita usahakan itu diredai tuhan kerana sehebat mana pun kita jangan lupa bahawa kuasa Tuhan itu boleh merubah segala-galanya. Jadi jangan leka dan alpa bila dianugerahkan dengan kejayaan,” ujarnya.