Bomba Perak selamatkan harta bernilai lebih RM143 juta

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berjaya menyelamatkan harta bernilai lebih RM143 juta daripada kejadian kebakaran dari Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, ia adalah penurunan sebanyak 12 peratus berbanding tahun lepas iaitu harta bernilai RM163.4 juta telah berjaya diselamatkan bagi tempoh sama.

"Jumlah kerugian harta pula merekodkan lebih RM33 juta berbanding RM17.6 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas.

"Peningkatan ini adalah disebabkan peningkatan kebakaran di musim kemarau," katanya dalam ucapan Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Jun 2023 dan Pemakaian Tanda Pangkat kepada 24 pegawai di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, JBPM Perak mencatatkan penurunan sebanyak 44 peratus panggilan kecemasan iaitu 5,191 sejak Januari hingga bulan ini, berbanding 9,262 kes tempoh sama tahun lepas, meliputi kes kebakaran, penyelamatan dan khidmat kemanusiaan.

Katanya, jumlah kes kebakaran menunjukkan penurunan sebanyak 244 kes iaitu 5,191 bagi 2023 berbanding 5,435 (2022).

Bagaimanapun Sayani berkata, terdapat peningkatan sebanyak 521 kes penyelamatan iaitu 3,448 kes (2023) berbanding 2,927 kes (2022) bagi tempoh sama.

Katanya pembaharuan strategi mempercepatkan masa tindak balas ke tempat kecemasan dan pelaksanaan praperancangan berterusan merupakan antara faktor yang membantu kejayaan operasi, selain kerjasama organisasi keselamatan kebakaran dan tadbir urus pasukan bomba sukarela yang baik. - Bernama