Jenazah mangsa rentung dikebumi selepas bedah siasat - Polis

Jenazah Abdul Muslim dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamiul Makmur, Kulim sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.
Jenazah Abdul Muslim dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamiul Makmur, Kulim sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.
A
A
A

KULIM - Jenazah pemandu rentung dalam kebakaran kereta di Jalan Kulim-Baling, dijangka dikebumikan pada Selasa setelah proses bedah siasat selesai.

Mangsa, Abdul Muslim Abdul Halim, 27, dilaporkan meninggal dunia setelah gagal menyelamatkan diri apabila kenderaan dipandunya terbabit kemalangan sebelum terbakar kira-kira jam 2.20 petang pada Isnin.

Kemalangan turut melibatkan isteri mangsa, Umi Kalsom Daud, 28, dan dua anak berusia tiga dan empat tahun, yang dilaporkan parah serta masih menerima rawatan di Hospital Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, jenazah Abdul Muslim kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat.

"Sebaik selesai, jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamiul Makmur di sini pada hari ini," jelasnya ketika ditemui media semasa Program 'Community Engagement' Bersama Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh di Kulim Golf & County Resort pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pemandu rentung manakala isteri dan dua anak parah apabila kereta dinaiki keluarga itu terbakar dalam kemalangan.

Kesemua mereka dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kulim ke Baling.

Bagaimanapun, siasatan awal polis mendapati kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan sehingga menyebabkannya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah Baling ke Kulim.

Akibat pertembungan itu, kenderaan yang dinaiki mangsa telah terbakar dan memerlukan bantuan pasukan bomba untuk memadamkan kebakaran.

Mayat kemudiannya ditemukan dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu selepas bomba berjaya memadam api.

Sementara itu, dalam Program 'Community Engagement' Bersama Ketua Polis Kedah, seramai 150 orang terdiri daripada imam masjid, pengerusi kuil dan badan bukan kerajaan hadir bagi menyuarakan isu semasa kepada pihak berkuasa.

Peserta turut memberikan cadangan dalam usaha membanteras jenayah dan masalah sosial di Daerah Kulim selain mendapat peluang berinteraksi secara langsung daripada Ketua Polis Kedah.