Lelaki rentung, isteri, dua anak parah kereta terbakar

Kenderaan dinaiki empat beranak terbakar dalam kemalangan di Jalan Kulim-Baling pada Isnin.
Kenderaan dinaiki empat beranak terbakar dalam kemalangan di Jalan Kulim-Baling pada Isnin.
A
A
A

KULIM - Seorang lelaki rentung, manakala isteri dan dua anak parah apabila kereta dinaiki keluarga itu terbakar dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang di Jalan Kulim-Baling pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pemandu berusia 27 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa lain dihantar ke Zon Merah Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa bersama isteri berusia 28 tahun dan dua anak berusia tiga dan empat tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kulim ke Baling.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan sehingga menyebabkannya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah Baling ke Kulim.

“Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan berusia 46 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat pertembungan itu, kenderaan yang dinaiki mangsa telah terbakar dan memerlukan bantuan pasukan bomba untuk memadamkan kebakaran.

Mohd Redzuan berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu selepas bomba berjaya memadam api.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.