Agihan kerusi muktamad selepas DUN bubar - Salahuddin

Salahuddin (tengah) ketika Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 pada Selasa.
Salahuddin (tengah) ketika Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agihan kerusi melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di enam negeri akan dimuktamadkan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan rundingan bagi pengagihan kerusi antara kedua-dua gabungan tersebut hampir selesai.

"Kita hampir selesai sebenarnya. Hampir 95 peratus.

"Ada sedikit sangat lagi mungkin selesai selepas semua DUN tersebut dibubarkan, saya yakin ia akan selesai (agihan kerusi).

"Ini kerana pengalaman kita yang banyak kali berunding ini mesti akan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 di sini pada Selasa.

Pada 17 Jun lepas, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, berkata, pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan PH di enam negeri yang bakal menghadapi PRN tidak lama lagi, sudah 90 peratus selesai.

Mohamad berkata, bagaimanapun terdapat satu ke dua kerusi berlaku pertindihan membabitkan semua negeri berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos, iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.

PRN itu perlu diadakan memandangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.