Mampukah PN kalih Pulau Pinang?

Perikatan Nasional memperkenalkan slogan 'Pulau Pinang Try Kalih' dalam kempen-kempen yang diadakan ketika ini untuk merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan. - Foto Bernama
Perikatan Nasional memperkenalkan slogan 'Pulau Pinang Try Kalih' dalam kempen-kempen yang diadakan ketika ini untuk merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan. - Foto Bernama
A
A
A

PULAU PINANG antara satu daripada enam negeri yang akan menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Perikatan Nasional (PN) dilihat begitu yakin boleh merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) sehingga memperkenalkan slogan Pulau Pinang Try Kalih dalam kempen-kempen yang diadakan pada ketika ini.

Mungkin prestasi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menjadi pembakar semangat buat PN untuk menakluk Pulau Pinang pada PRN kali ini, apabila nama-nama besar daripada PH dan Barisan Nasional (BN) tewas, termasuk merobek kubu kuat parti lawan.

Antaranya, Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PH sejak sekian lama jatuh ke tangan PN apabila Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mewakili Pas berjaya mengalahkan penyandang kerusi berkenaan, Nurul Izzah Anwar dan beberapa calon lain dengan majoriti 5,272 undi.

PN juga berjaya membolos kerusi Parlimen Kepala Batas apabila calon Pas, Siti Mastura Muhammad berjaya merampas kerusi yang dikuasai oleh BN sejak sekian lama dengan majoriti 2,867 undi.

Untuk PRN kali ini, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencapai persefahaman membahagikan sejumlah 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan majoriti Melayu, sementara 25 kerusi lagi akan ditandingi rakan sekutu mereka, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Dalam konvensyen PN yang berlangsung pada Sabtu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan keyakinan gabungan parti itu akan memberi saingan sengit kepada PH dalam PRN, serta mampu menang hampir 20 kerusi daripada 40 kerusi yang akan dipertandingkan.

Presiden Bersatu itu berkata, sekiranya semua ahli gabungan bekerja lebih keras, tidak mustahil untuk PN menang satu lagi kerusi bagi membentuk majoriti mudah dan berjaya merampas Pulau Pinang daripada PH.

Dalam konvensyen sama, Ketua Pemuda PN negeri, Zuzalee Ariffin mendedahkan, berdasarkan kajian gabungan itu, sebanyak 55 peratus orang Melayu di Pulau Pinang menyokong PN, manakala 28 peratus menyokong Barisan Nasional (BN) serta 15 peratus bersama PH.

Menurutnya, sebanyak 93 peratus masyarakat Cina di Pulau Pinang menyokong PH, dengan satu peratus menyokong PN dan lima peratus menyokong BN.

Masyarakat India pula, katanya, sebahagian besar bersama PH iaitu 84 peratus, selain 12 peratus bersama BN, dan empat peratus menyokong PN.

Dengan peratusan yang ditunjukkan itu, penulis tidak pasti bagaimana PN begitu yakin mahu ‘kalih’ Pulau Pinang dan merampas negeri itu daripada PH. Tambahan pula PH dilihat semakin kukuh penguasaan mereka apabila bekerjasama dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan.

Melainkan pengundi sudah mula beralih sokongan dan tidak bersetuju dengan kerjasama PH dan BN selama ini, atau mungkin memang benar gelombang hijau sudah mula menular di segenap negeri ini.

Namun begitu, hasil pemerhatian penulis, sekiranya tidak berjaya menawan seluruh Pulau Pinang sekalipun, PN mungkin akan menguasai lebih banyak kerusi di kawasan Seberang Perai yang majoriti pengundi adalah Melayu.

Pada PRU14 tahun 2018, PH menang 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan BN menang dua, sementara Pas satu kerusi. Susulan penjajaran politik pada 2020, kedudukan PH berkurang kepada 33 kerusi apabila Bersatu meninggalkan PH dan dua wakil rakyat PH menyertai parti itu.

Bagaimanapun, semua kerusi itu diisytihar kosong susulan penguatkuasaan undang-undang antilompat parti.

Gerakan pula tidak memenangi sebarang kerusi pada PRU14 dan PRU15.

Melihat kepada situasi tersebut, mampukah slogan Pulau Pinang Try Kalih yang dilaungkan PN berjaya menjadi kenyataan? Mungkin ada yang mengatakan ia sesuatu yang mustahil, namun dalam mana-mana pilihan raya, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Sebabnya, segala kuasa terletak di tangan rakyat yang mengundi dan bukannya slogan.

* Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian Utara