Kerajaan fokus selesai isu 'mismatch' sektor pekerjaan

Azmin - Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap menyelesaikan isu 'mismatch' yang berlaku dalam pasaran pekerjaan negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, tujuh daripada 10 graduan tempatan ketika ini terlibat dalam kursus-kursus kemanusiaan sedangkan enam daripada 10 pekerjaan memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional.

"Jadi kita kena lihat balik sistem pendidikan negara kita supaya output daripada sistem pendidikan negara boleh memenuhi permintaan industri. Itu fokus kita," katanya pada sidang media selepas perbincangan strategik antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), di sini hari ini.

Turut serta ialah Menteri Pertanian dan Industri AsasTani, Datuk Salahuddin Ayub.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditanya mengenai mesyuarat khas Kabinet pada Hari Pekerja 1 Mei lepas yang memberi tumpuan kepada langkah mencipta peluang pekerjaan.

Menurut Mohamed Azmin, mesyuarat itu yang turut melibatkan semua ketua setiausaha kementerian hanya membincangkan dua kertas yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.

Menurut laporan media, mesyuarat 'istimewa' sempena Hari Pekerja itu dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan diselaraskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir berkaitan penanaman padi waktu malam, berkata kenyataan itu tidak seharusnya dibaca secara harfiah (literal).

"Saya rasa Tun (Dr Mahathir) bercakap dalam lapik bahasa supaya kita lebih berinovatif sebenarnya, supaya kita lebih memikirkan cara-cara terbaik bagaimana untuk maju ke hadapan," kata Salahuddin.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata padi boleh ditanam pada waktu malam sebagai menyindir sikap sesetengah rakyat Malaysia yang memilih pekerjaan sehingga ada yang tidak sanggup berpanas di bawah terik matahari.

Dr Mahathir dilaporkan berkata kerajaan bercadang melaksanakan dasar bekerja pada waktu malam khusus bagi sektor pekerjaan yang kurang mendapat sambutan daripada rakyat tempatan. -Bernama