Batal lesen peniaga serta-merta

Mohd Jafni (depan, tengah) bergambar bersama dengan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Johor selepas Majlis Pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan PBT Negeri Johor di Dewan Tunku Ibrahim Ismail Kluang, pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Jafni (depan, tengah) bergambar bersama dengan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Johor selepas Majlis Pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan PBT Negeri Johor di Dewan Tunku Ibrahim Ismail Kluang, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Kerajaan Johor akan menarik, dan seterusnya membatalkan serta-merta lesen penjaja atau peniaga yang "membenarkan" orang ketiga menggunakan lesen mereka untuk menjalankan perniagaan termasuk warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, amaran ‘keras’ itu termasuk kepada mereka yang mempunyai lesen perniagaan (penjaja) dan lesen perniagaan tidak berisiko.

"Pembatalan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan serta-merta sekiranya didapati pemilik kedua-dua jenis lesen berkenaan tidak berniaga secara sendiri,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Isnin selepas majlis pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan PBT Negeri Johor di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Beliau berkata, peniaga seharusnya berniaga sendiri dan tidak membenarkan warga asing mahupun rakyat tempatan menggunakan lesen milik mereka.

"Kita juga sebenarnya tidak pernah mengeluarkan kedua-dua jenis lesen ini kepada warga asing dan jika ternampak warga asing berniaga sama ada di pasar pagi atau pasar malam, orang ramai boleh membuat aduan kepada PBT,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain termasuk warga asing.

Anwar berkata pihaknya bersama PBT berkenaan sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan itu dipatuhi, dalam memastikan ia memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata melalui 16 PBT di negeri itu, pemendekan waktu maksimum kelulusan permohonan kedua-dua jenis lesen ini turut dilaksanakan bagi membantu mereka menjalankan perniagaan.

"Sebelum ini, kelulusan lesen adalah sekitar 30 hingga 60 hari bekerja. Namun, selepas ini kelulusan berkenaan hanyalah dalam tempoh 24 jam atau satu hari bekerja.

"Kita juga memudahkan urusan lain seperti mengurangkan dokumen semasa permohonan daripada sembilan kepada tiga dokumen sahaja serta daripada 13 syarat kepada tiga syarat sahaja,” katanya. - Bernama