Pembantu tadbir didenda naikkan jumlah peserta dalam invois KPKT

Seorang pembantu tadbir didenda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin.
Seorang pembantu tadbir didenda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pembantu tadbir menerima RM4,797.50 daripada pekerja syarikat pembekalan makanan untuk menaikkan jumlah peserta dalam invois Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), mengundang padah apabila dia didenda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.

Nurul Azirah Kamaruddin, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah memerintahkan penjawat awam ini menjalani hukuman penjara selama sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak, iaitu pembantu tadbir perkeranian dan operasi, didakwa menerima wang itu daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya, di Maybank Desa Jaya, Kepong, di sini, pada 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menerima pertolongan daripada seorang pekerja sebuah syarikat pembekalan makanan bagi menaikkan jumlah peserta Bengkel Akta Pengurusan Strata anjuran KPKT di Langkawi, Kedah daripada 34 kepada 85 peserta, dalam invois syarikat tersebut.

Pada 12 April 2018, syarikat itu kemudian telah menerima bayaran daripada KPKT untuk perkhidmatan pembekalan makanan bagi bengkel itu dan tertuduh mengaku telah menerima wang itu daripada jumlah bayaran tersebut.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman setimpal, dengan mengambil kira tertuduh merupakan penjawat awam, seharusnya menjaga nama baik sektor kerajaan.

Sementara itu, peguam, Hamzah Hamdan yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman dalam bentuk denda yang ringan.

"Dia perlu menyara lima anak yang masih bersekolah sementara anak bongsunya merupakan seorang autisme.

“Tertuduh telah dikenakan tindakan disiplin di jabatannya di KPKT dan dia mungkin dibuang kerja,” katanya.