Belasungkawa: Perginya Mahmood Zuhdi, cendekiawan agama tersohor

Mahmood Zuhdi menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu.
Mahmood Zuhdi menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Negara kehilangan seorang tokoh akademik dan pendakwah di Malaysia yang menyumbang kepada gagasan dan idea Fiqh Malaysia berikutan pemergian Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu.

Semasa hayatnya, Allahyarham merupakan Felo Penyelidik Bersekutu Universiti Malaya dan dianugerahkan kedudukan sebagai Profesor Emeritus dari universiti itu pada tahun 2011.

Allahyarham turut menerajui Majlis Dakwah Negara (MDN) dan merupakan pengerusi sejak 2016.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Profesor Emeritus di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya juga merupakan seorang penulis dengan menerbitkan beberapa buku syariah selama beberapa tahun.

Antara buku-buku karya beliau termasuklah ‘Ke arah Merealisasikan Undang-undang Islam’ di Malaysia (1998), Pentadbiran Undang-undang Jenayah Islam Malaysia (1999), Wakaf dan Pelaksanaannya di Malaysia (2000) dan Ulama Penggugat Zaman (2004).

Selain itu, antara beberapa artikel ditulis Allahyarham termasuklah Fiqh Malaysia: Konsep dan Cabaran (2000), Peranan Zakat Dalam Pembangunan Ummah (2002) dan Teori Politik Islam: Memahami Siasah Syariah (2003).

Jasa dan sumbangan Mahmood Zuhdi diingati oleh pelbagai pihak termasuk mereka yang pernah menjadi pelajarnya atau bertugas di bawah seliaan Allahyarham.

Beberapa anak murid beliau di Facebook berkongsikan kisah bersama Allahyarham selain menganggap beliau seorang pendidik yang disegani malah menyumbang banyak jasa dalam membangunkan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) sebagai institusi pengajian Islam yang tersohor.

Seorang pemilik akaun Facebook dikenali Abdel Rahmanov berkongsi pengalamannya menuntut ilmu dengan Mahmood Zuhdi semasa pengajian master (ijazah sarjana) di APIUM.

"Kami pelajar APIUM lebih gemar memanggil beliau dengan panggilan Datuk Mood atau Tok Mod. Cara Tok Mod ialah beliau tidak gemar minda pelajar dikongkong oleh kitab-kitab lama.

"Menurut Allahyarham, kita perlu berani berijtihad sebab kita berada pada alaf baharu dan geografi yang baharu.

"Sebab itu lahir acuan Tok Mod bernama Fiqh Malaysia. Idea ini bukan benda baharu sebenarnya sebab saya melihat idea beliau lebih kurang seperti minda Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang mengajak kepada pembaharuan Fiqh," ujarnya.

Abdel Rahmanov menyatakan cara Mahmood Zuhdi mengajar berbeza dengan pensyarah lain kerana Allahyarham menggesa pelajar berfikir sebagai sarjana dan bukannya menelan bulat-bulat setiap perkara yang diajar oleh guru.

"Bagaimanapun, saya lihat beliau tetap menghormati pandangan hukum ulama-ulama lain walaupun ia jauh berbeza dengan pandangan beliau dan perkara itu satu sikap yang perlu kita ikuti.

"Kini Tok Mod telah pergi dengan meninggal jasa yang cukup banyak. Moga beliau ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Amin," ulasnya.

Seorang lagi anak murid Mahmood Zuhdi, Nazri Chik menceritakan banyak kenangan dan peluang belajar secara tidak langsung sepanjang perkenalannya bersama Allahyarham.

Nazri Chik (kiri) bersama Allahyarham Mahmood. - Foto Facebook Nazri Chik
Nazri Chik (kiri) bersama Allahyarham Mahmood. - Foto Facebook Nazri Chik

"Pada tahun 2002, saya berusia 24 tahun dan bertugas sebagai tutor sambilan di APIUM sambil menyiapkan Sarjana Syariah. Beliau membina keyakinan saya sebagai pembentang kertas kerja dengan mewakilkan saya membentangkan kertas kerja beliau tentang Fiqh Malaysia dalam satu persidangan syariah bertaraf kebangsaan di Bilik Jumaah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Beliau berhalangan hadir disebabkan tugasan lain dan pembentang lain adalah ahli-ahli akademik syariah terkemuka. Alhamdulillah pembentangan berjalan dengan baik," jelasnya.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook bernama Rosfan Sazrin II menyatakan ketika menyambung pelajaran, antara kelas yang sentiasa mencabar mindanya adalah kelas Teori-teori Fiqh oleh Allahyarham.

"Soalan-soalan yang beliau ajukan dalam kelas memaksa pelajar dari latar belakang Quran Sunnah seperti saya penat menghadam ilmu beliau yang luas dalam bidang fiqh.

"Kemahiran Allahyarham membumikan teori-teori fiqh yang kami pelajari dalam perbincangan topik-topik yang menarik dan panas dalam kelas amat dikagumi," ujarnya.

Rosfan berkata, walaupun dirinya penat setiap kali kelas kerana dikerah berfikir tahap maksimum untuk hadam segala teori-teori Fiqh selain menjawab soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) daripada Allahyarham, namun ia antara kelas paling digemari selain memupuk minatnya kepada Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh.

Selain itu, pemilik akaun Facebook bernama Wan Azimin Lawyer menyatakan hasil didikan Allahyarham yang menggerakkan hati beliau dan rakan-rakan lain untuk menyambung pengajian peringkat sarjana apabila tamat belajar di peringkat sarjana muda selain membina kerjaya sebagai peguam syarie dan hakim syarie.

Wan Azimin (tengah) bersama Allahyarham Mahmood (kanan). - Foto Facebook Wan Azimin Lawyer
Wan Azimin (tengah) bersama Allahyarham Mahmood (kanan). - Foto Facebook Wan Azimin Lawyer

"Terkenang pelbagai kenangan manis pahit bersama beliau dalam dewan kuliah dan luar kuliah. Bertanya soalan, berbincang serta berbahas jadi kaedah selain amalan interaksi beliau serta anak-anak muridnya dalam bilik kuliah.

"Bersetuju untuk tidak bersetuju kerap jadi kesimpulan selepas berbahas dan berbincang, namun tiada siapa yang berkecil hati selain perasaan hormat terhadap nilai ilmu intelektual dan keperibadiannya sentiasa tinggi di hati kami," katanya.

Dalam pada itu, Wan Azimin juga berharap segala ilmu dan jasa yang dicurahkan Allahyarham kepada ramai anak-anak murid beliau dari setiap generasi di APIUM khususnya menjadi bekal pahala jariah untuk Allahyarham.

Sumbangan Mahmood Zuhdi sentiasa menjadi rujukan dan diingati bagi seluruh pakar, pendakwah serta rakyat Malaysia terutama dalam bidang berkaitan agama dan syariah.

Al Fatihah buat Mahmood Zuhdi, semoga rohnya ditempatkan dengan golongan soleh.