Perak perkenal tiga kadar zakat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Tiga pilihan kadar bayaran zakat ditetapkan di Perak iaitu RM7, RM14 dan RM21 bagi tahun 2019.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Mohd Haidi Sulaiman berkata, ketetapan itu dibuat selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memperakui pandangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak ke-216 mengenai tiga pilihan tersebut.

Namun kadar minimum yang perlu dibayar setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah sebanyak RM7.

"Bagaimanapun para pembayar zakat fitrah digalakkan membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar 'tatawwu'.

"Kadar bayaran RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya. manakala RM21 bagi pembayar menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Haidi berkata, MAIPk telah melantik seramai 1,897 amil fitrah di seluruh Perak bagi memudahkan orang ramai membayar zakat.

Katanya, amil-amil tersebut akan bertugas di semua masjid dan surau di negeri ini.

Beliau berkata, selain itu, kaunter sementara dan kaunter bergerak juga akan dibuka di beberapa tempat tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, MAIPk menggalakkan orang ramai menunaikan zakat harta dan menyumbang wakaf tunai bersama Waqaf Perak Ar-Ridzuan.