Kerajaan Perpaduan lulus 436 projek di Kelantan

Nik Nazmi - Foto Bernama
Nik Nazmi - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Ekonomi meluluskan 436 projek di Kelantan melibatkan peruntukan keseluruhan RM22.17 bilion bagi pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi peruntukan sebanyak RM2.57 bilion tahun ini.

"Jumlah itu khusus untuk pelaksanaan projek yang telah diluluskan," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan di Teluk Renjuna di pada Sabtu.

Pada lawatan sama, Nik Nazmi turut menyerahkan peruntukan di bawah Projek Mesra Rakyat sebanyak RM30,000 bagi tujuan penyelenggaraan Klinik Kesihatan dan RM30,000 untuk pembaikan bumbung masjid di Teluk Renjuna.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memaklumkan, sebanyak RM88.82 juta diluluskan untuk jajahan Tumpat.

"Ia membabitkan 23 projek dengan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM1.04 bilion," katanya.

Terkini katanya, tujuh projek baharu diluluskan di jajahan berkenaan dengan kos keseluruhan RM240.4 juta.

Selain itu, Nik Nazmi memberitahu, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 dijangka siap pada 17 Oktober depan.

Jelas beliau, projek yang dilaksanakan sejak 2018 itu menelan kos RM699 juta.

"PLSB Fasa 2 melibatkan peruntukan RM1.06 bilion dijangka siap pada 2028," katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau PLSB Fasa 1 dan 2 yang seluas 63,000 hektar dapat mengelakkan risiko banjir di kawasan melibatkan 130,700 penduduk.

"Skop projek meliputi komponen tebatan banjir, sungai, saliran mesra alam dan National Water Balance System (Nawabs).