Tak pasti Mohd Fasiah keluar Umno

ABD RAHMAN
ABD RAHMAN
A
A
A

SABAK BERNAM - Umno Bahagian Sabak Bernam masih tidak dapat mengesahkan sama ada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh keluar daripada Umno berkuatkuasa hari ini.

Ketua Umno Bahagiannya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.

"Saya pun hanya berpandu pada surat yang disebar di (aplikasi) WhatsApp.

"Saya pun tak pasti sama ada surat itu sahih atau pun tidak, sebaiknya kita tunggu keputusan rasmi daripada beliau (Mohd Fasiah)," katanya.

Mengulas lanjut, Abd Rahman berkata, sekiranya Mohd Fasiah meninggalkan parti itu, ia terpulang kepada pemimpin terbabit.

"Kalau dia nak keluar (Umno) itu hak dia. Kita pun tak boleh halang sebab kita tahu parti dalam keadaan gawat.

"Hanya pemimpin kental sahaja boleh bertahan untuk membantu parti," katanya.

Sementara itu, Mohd Fasiah gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 September lalu, Mohd Fasiah dalam kenyatannya kepada Sinar Harian menolak khabar angin kononnya beliau bakal berhijrah dan menyusul pemimpin lain keluar Umno.

Menurutnya, dakwaan yang mengaitkan nama beliau itu hanyalah spekulasi semata-mata namun tidak menolak kemungkinan pendirian beliau terhadap parti itu berubah pada masa akan datang.

Sebelum ini, Mohd Fasiah gagal mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam apabila tewas kepada Abd Rahman pada pemilihan parti itu, 30 Jun lalu.