Al- Quran wakaf saiz besar mudahkan warga emas ngaji

Warga emas memanfaatkan sumbangan al-Quran daripada Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia.
Warga emas memanfaatkan sumbangan al-Quran daripada Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia.
A
A
A

TUMPAT - Penduduk Kampung Belian di sini bersyukur kerana dapat memanfaatkan kira-kira 100 al-Quran yang disumbangkan oleh Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia (The Hope Factory Malaysia).

Al-Quran yang diwakafkan di Masjid Iktikaf Noor Muhamad Kampung Belian itu turut digunakan oleh warga emas untuk belajar mengaji setiap Selasa dan Khamis.

Penasihat Jawatankuasa masjid itu, Ghazali Hasni Md Hassan berkata, kalam ALLAH yang bercetak besar itu membolehkan jemaah membaca dengan lebih baik.

"Terima kasih kami kepada pihak yang bermurah hati dengan sumbangan ini. Al-Quran ini lebih sesuai dengan kami, senang dibaca dan ramai warga emas menggunakannya," katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai lagi individu atau syarikat korporat yang sudi membantu menghulurkan derma bagi menyiapkan masjid berkenaan.

Masjid yang boleh menampung lebih 200 jemaah pada satu-satu masa memerlukan dana RM350,000 untuk disiapkan tetapi kini tetap digunakan jemaah untuk solat lima waktu memandangkan masjid lain jauh dari kampung itu.

Sementara itu, Presiden pertubuhan itu, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj berkata, sumbangan al-Quran Masjid Iktikaf Noor Muhamad Kampung Belian Tumpat bertujuan memenuhi impian jemaah yang mahu bertadabur al-Quran di masjid itu.

"Ia merupakan antara sumbangan kami kepada jemaah sekali gus mahu melihat masjid berkenaan sentiasa meriah dengan aktiviti masyarakat," katanya.

Naskhah al-Quran disampaikan oleh Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Mohd Nasir Hamzah.

Mohd Nasir (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Iktikaf Noor Muhamad Kampung Belian.
Mohd Nasir (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Iktikaf Noor Muhamad Kampung Belian.

Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia yang ditubuhkan pada pada tahun 2012 dan merupakan sebuah NGO yang fokusnya terdiri dari 7 kategori iaitu program wakaf al-Quran rawatan perubatan, rumah kebajikan kanak kanak dan fakir miskin, bidang pendidikan, mereka yang kebuluran dan juga perlindungan untuk haiwan terbiar.

Orang ramai yang mahu berwakaf boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB di nombor 8603574107 atas nama Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia.