Lebih 50 peratus nelayan sokong PSR

Dr Afif Bahardin
A
A

GEORGETOWN - Lebih 50 peratus nelayan di negeri ini menyokong projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) yang bakal dibangunkan bagi membiayai projek mega, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin berkata, sokongan itu diperoleh melalui hasil penglibatan awam yang diadakan konsultan dilantik lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun sokongan yang diberikan itu bersyarat apabila majoriti daripada jumlah itu membangkitkan isu pampasan yang bakal mereka peroleh.

"Hasil penglibatan awam selama lebih dua tahun dijalankan, kita mendapati lebih 50 peratus nelayan menyokong projek PSR ini. Bagaimanapun, sokongan itu bersyarat dan majoritinya bertanya pasal pampasan.

"Tak ramai yang tanya sama ada mereka masih boleh tangkap ikan atau tidak selepas projek ini dibangunkan. Ini kerana, mereka lebih tahu kawasan mana yang boleh menangkap ikan," katanya pada Sidang DUN Pulau Pinang di sini hari ini.

Afif (PKR-Seberang Jaya) berkata, selain isu pampasan, nelayan juga sering bertanya mengenai perumahan iaitu penempatan semula untuk penduduk yang terjejas akibat projek tambakan berkenaan.

"Isu perumahan ini pun penting. Kerajaan negeri, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah adakan perbincangan. Kita masih melihat semua tapak yang sesuai untuk membina perumahan nelayan.

"Isu pampasan belum dibincang dengan terperinci dan tiada garis panduan khusus dari kerajaan Pusat. Tetapi dalam projek sebelum ini, pampasan yang Pulau Pinang berikan lebih tinggi dari Johor. Namun perkara ini perlu diperhalusi lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung peratusan sokongan dari 805 nelayan terjejas dalam sesi penglibatan awam diadakan.

Choon Aik turut menyoal sama ada sokongan yang diperolehi itu disusuli dengan permintaan agar kerajaan negeri membantu nelayan yang terjejas atau sebaliknya.

Afif berkata, tapak PSR tidak dibangunkan di kawasan tangkapan ikan namun ia akan menjejaskan ekosistem di kawasan berhampiran.

"Kita dapati ia akan menjejaskan ekosistem seperti tempat pembiakan ikan dan udang, namun kita ada jalankan program mitigasi termasuk membangunkan semula paya bakau untuk mengganti tempat yang hilang disebabkan projek PSR ini.

"Selain itu, dengan adanya projek ini, laluan air akan dibina bagi memudahkan nelayan keluar masuk. Jika sebelum ini mereka perlu tunggu air surut dulu. Kita juga akan membina jeti terapung baru. Walaupun dengan adanya projek PSR ini, kita akan kekalkan aktiviti nelayan," katanya.