Inisiatif KPM kurangkan tugas guru

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan tugas guru di sekolah sekali gus memperkasakan kebajikan golongan itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara inisiatif tersebut adalah memperkasa pengurusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan agar kekosongan di sekolah dapat dipenuhi dengan segera.

Beliau berkata, pihaknya juga akan terus memastikan keperluan guru dipenuhi melalui pengisian kekosongan perjawatan guru di sekolah supaya pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Selain itu, KPM sentiasa berusaha meminimumkan tugasan pengurusan dan pentadbiran bukan profesional dengan mengoptimumkan pengisian kekosongan perjawatan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) berdasarkan kelulusan kuota pengisian agensi pusat (JPA) serta bekalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

"Beberapa sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar (MGB) turut diadakan bagi mendapatkan maklum balas untuk menentukan perancangan dalam mengatasi isu beban tugas guru," katanya dalam pertanyaan bukan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki mengenai pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi beban tugas guru di sekolah.

Tambah Fadhlina, langkah lain adalah mengeluarkan surat pemakluman berhubung beberapa perkara antaranya mengenai pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat, pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2023 serta pelaksanaan sambutan Hari Guru Tahunan peringkat kebangsaan dan sekolah

"Selain itu, kami juga telah memaklumkan perekodan waktu kehadiran murid dalam sistem kehadiran murid (eKehadiran) Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelantikan pengawas peperiksaan awam kendalian Lembaga Peperiksaan.

"Pemakluman terhadap pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran selain autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah juga telah diedarkan," ujarnya.