Puspakom perkenal PAR atasi manipulasi orang tengah

Ahli PAR mengangkat ikrar sebagai komitmen untuk memberikan perkhidmatan berintegriti kepada pelanggan.
Ahli PAR mengangkat ikrar sebagai komitmen untuk memberikan perkhidmatan berintegriti kepada pelanggan.
A
A
A

SHAH ALAM - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) memperkenalkan program Puspakom Approved Customer Representative (PAR) sebagai langkah mengatasi manipulasi orang tengah dalam urusan pemeriksaan kenderaan.

Ia dilaksanakan agar semua operasi syarikat dijalankan secara telus, profesional dan saksama selaras dengan peraturan serta undang-undang yang termaktub.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail berkata, PAR adalah satu inisiatif mewujudkan persekitaran positif, telus dan beretika bagi pihak yang berurusan di premis berkenaan.

“Lazimnya, ramai pelanggan Puspakom menggunakan khidmat 'runner' bagi urusan pemeriksaan kenderaan di premis tersebut, namun ada juga golongan orang tengah yang memanipulasi, mengenakan caj perkhidmatan tinggi dan memberi maklumat palsu kepada mereka.

“Pelanggan kemudiannya membuat aduan bahawa Puspakom tidak telus dan itu telah memberi persepsi buruk terhadap imej syarikat.

“Bagi mengatasi isu negatif dan amalan tidak beretika segelintir orang tengah ini, sistem PAR diperkenalkan. Puspakom akan membuat saringan latar belakang terhadap semua 'runner' dengan kerjasama pihak berkuasa, mereka yang lulus didaftar sebagai ahli,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Shukor berkata, program itu berteraskan integriti, prinsip ketelusan dan amanah serta mewujudkan keharmonian antara pelanggan, wakil atau pembawa kenderaan dengan Puspakom.

Walau bagaimanapun, pihaknya menjelaskan Puspakom masih mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke pusat pemeriksaan dan inisiatif itu tidak berniat menafikan hak mereka sebagai pelawat.

Menurut beliau, bagi memperincikan objektif dan tatacara yang perlu diadaptasikan PAR dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan, Puspakom turut menganjurkan beberapa sesi taklimat disusuli dengan Ikrar Bebas Rasuah.

Shukor menjelaskan pihaknya akan terus melaksanakan inisiatif memperkukuhkan nilai moral Rangka Kerja Integriti dan Pematuhan Puspakom (Picf), pelan komprehensif menangani risiko selaras peruntukan di bawah Seksyen 17A (Liabiliti Korporat bagi kesalahan rasuah), Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) sebagai usaha bersepadu dalam meningkatkan tahap kejujuran syarikat termasuk Prinsip T.R.U.S.T.

"Pelanggan yang ingin menggunakan khidmat orang tengah juga digalakkan layari PAR di laman web www.puspakom.com.my untuk maklumat lanjut," ujar beliau.