Jemaah haji puas hati khidmat TH

Syed Saleh (tengah) memberi sumbangan ke Tabung Nikmatul Khair.
Syed Saleh (tengah) memberi sumbangan ke Tabung Nikmatul Khair.
A
A
A

MAKKAH - Jemaah haji yang berada di Tanah Suci berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang disediakan Tabung Haji (TH) kepada mereka ketika ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, maklum balas itu diperolehi hasil dapatan beliau ketika mengadakan lawatan ke hotel-hotel penginapan dalam siri ramah mesra dengan jemaah haji.

"Pemerhatian saya dari siri-siri lawatan ke Unit-Unit Operasi di Makkah dan Madinah, Maktab-Maktab (penginapan), Pusat Rawatan TH dan bersama petugas menyambut ketibaan jemaah haji menunjukkan hasil positif.

"Laporan harian operasi haji dari pelbagai Pengurusan Peringkat Operasi (PPO) yang lain juga menunjukkan ia berjalan dengan baik dan lancar," katanya pada Majlis Perhimpunan Petugas Musim Haji 1444H/2023M di Abraj Janadriyah, di sini pada Khamis.

Syed Saleh berkata, tahap kepuasan jemaah haji menunjukkan petanda baik bahawa perancangan yang teratur, komitmen dan pengorbanan petugas membuahkan hasil.

"Marilah kita terus menyantuni jemaah haji dengan semangat juang yang tinggi dan fokus kepada tugasan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan kelancaran operasi haji yang kita rasai pada masa ini akan berterusan hingga akhir.

Petugas haji yang bersemangat ketika Majlis Perhimpunan Petugas Musim Haji 1444H/2023M di Abraj Janadriyah, pada Khamis.
Petugas haji yang bersemangat ketika Majlis Perhimpunan Petugas Musim Haji 1444H/2023M di Abraj Janadriyah, pada Khamis.

"Semangat dan komitmen para petugas haji di musim-musim lalu menyantuni Dhuyufurrahman dan selalu diperkatakan oleh ramai pihak sebagai petugas yang komited dan berdedikasi perlu ditingkatkan.

"Kini giliran kita pula untuk memastikan pengurusan haji pada tahun ini menjadi tahun terbaik perkhidmatan kepada jemaah haji berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Syed Saleh turut menghargai jasa petugas yang banyak berkorban meninggalkan ahli keluarga masing-masing bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji.

"Program ziarah di Madinah juga telah bertambah di samping Ziarah Masjid Nabawi dan ziarah luar. Tahun ini ziarah Raudhah juga perlu dikendalikan secara berkumpulan.

"Ini belum kira ketibaan dan pelepasan penerbangan setiap hari. Komitmen dan pengorbanan tenaga dan masa oleh petugas amat saya kagumi," katanya.

Tambahnya lagi, kemasukan jemaah haji dari Madinah ataupun Jeddah ke maktab di Makkah dengan jumlah keseluruhan 98 penerbangan pada tahun ini mengakibatkan pergerakan yang agak padat.

"Terdapat maktab yang telah menguruskan kemasukan tujuh penerbangan jemaah haji dan tujuh pergerakan lori bagasi sehari sudah tentu memerlukan komitmen, dedikasi serta kerja dalam satu pasukan yang mantap,"katanya.

Sehingga kini, seramai 26,420 jemaah haji telah tiba di Makkah daripada jumlah keseluruhan kuota haji Malaysia seramai 31,600 jemaah.

Tahap kepuasan jemaah terhadap khidmat TH dicapai 94 peratus pada tahun lalu.
Tahap kepuasan jemaah terhadap khidmat TH dicapai 94 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, TH telah melancarkan Tabung Nikmatul Khair (nikmat kebaikan) bagi memberi peluang kepada petugas haji untuk menyalurkan sumbangan kepada jemaah yang berada di Tanah Suci pada musim ini.

Syed Saleh berkata, pada tahun lalu kutipan sebanyak 33,000 Riyal telah berjaya dikumpul dan digunakan untuk menyediakan sarapan pagi kepada jemaah haji.

"Pada tahun ini kita akan lihat berapa jumlah kutipan dan daripada situ kita akan putuskan bentuk bantuan sama ada bantuan sama seperti tahun lepas atau sumbangan terus kepada jemaah memerlukan.

"Objektif kita nak kongsi rezeki bersama jemaah, Insya-ALLAH pahala berlipat ganda, selain sumbang tenaga ada ruang untuk sumbang wang ringgit," katanya.