Best FM saji segmen menarik

Penyampai Best FM
Penyampai Best FM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepanjang Ramadan yang bakal menjelma beberapa hari lagi, stesen radio Best FM menjanjikan segmen dan aktiviti menarik untuk pendengarnya.

Stesen radio popular di selatan tanah air itu akan memperdengarkan segmen dan aktiviti berbentuk kebajikan, hiburan dan juga ilmiah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusry Abu Samah berkata, sepanjang Ramadan ini, Best FM akan menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu Best 90-an, 2000-an dan terkini.

"Ini termasuklah lagu-lagu bertemakan Ramadan, ketuhanan selain segmen-segmen berbentuk ilmiah seperti tazkirah dan fadilat Ramadan.

"Penceramah bertauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kami undang untuk berkongsi keistimewaan dan kelebihan bagi memberi kesedaran, kesempurnaan dan keberkatan sepanjang bulan yang mulia ini," katanya ketika ditemui.

Penyampai Best FM, Helmi Sambung bersama peniaga bazar Ramadan sebelum ini.
Penyampai radio Best FM.
Penyampai Best FM, Helmi Sambung bersama peniaga bazar Ramadan sebelum ini. Penyampai radio Best FM.

Yusry berkata, Best FM juga akan menjayakan program kemasyarakatan antaranya aktiviti Best Renjer Bazar Ramadan yang mana kru Best Renjer akan berada di bazar-bazar Ramadan terpilih.

"Ini sesi bertemu pendengar selain bermesra dan mengedarkan makanan untuk berbuka puasa selain barangan eksklusif Best FM dan penaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai terutama pendengar Best FM juga berpeluang untuk menikmati masakan bubur lambuk yang istimewa kerjasama Best FM dan penaja.

"Kami berikan secara percuma dalam aktiviti Bubur Lambuk Best. Program ini akan dijayakan bersama oleh syarikat atau agensi tertentu sebagai penaja bagi menjayakan program CSR kami," katanya.

Menurutnya, bagi yang ingin mencuba resipi Ramadan, pendengar dan penyampai Best FM akan berkongsi resipi juadah yang enak, ringkas dan mudah untuk dinikmati. "Kami di Best FM juga ingin berkongsi tips pemakanan sihat sepanjang Ramadan. Best FM akan menampilkan doktor atau pegawai perubatan bertauliah.

"Mereka akan berkongsi tips kesihatan dan pemilihan makanan sihat sepanjang hari berpuasa," katanya.

Anjur rumah terbuka

Yusry berkata, menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri pula, Best FM bakal menyajikan pendengar dengan pilihan segmen yang padat sempena Raya 2019. "Antara program hiburan kali ini adalah Carta Best Raya bersama Zairi dan ZZ. Menampilkan kedudukan lagu-lagu raya terbaik, ucapan-ucapan raya dan temubual eksklusif bersama selebriti serta gosip raya selebriti.

"Fiza Petir pula akan menemani raya pertama dan kedua anda menerusi Riang Ria Raya, memuatkan seleksi lagu-lagu raya terpilih dan Best, baru dan lama, 'viral Top 5' lagu raya, selain perkongsian tips kesihatan dan keselamatan sepanjang musim perayaan serta 'update' selebriti berhari raya," katanya.

Beliau berkata, Best FM juga menyediakan aktiviti berkaraoke dalam segmen Layan Karok Raya bersama Helmi Sambung, selain segmen Rumah Terbuka Fad-Ieqa. Yusry berkata, kemuncak Aidilfitri bersama Best FM, stesen radio itu akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Best FM yang dijangka berlangsung pada 20 Jun 2019.

"Acara akan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tanah air. Majlis Rumah Terbuka Best FM ini merupakan acara kali kedua diadakan setelah kejayaan kali pertama diadakan pada 2015.

"Dengan sambutan meriah dan menggalakkan daripada jemputan, klien dan ahli keluarga kakitangan Best FM sendiri," katanya.

Katanya, sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, lebih meriah kerana ia adalah sebagai permulaan untuk sambutan ulang tahun Best FM ke-30 sebagai radio swasta pertama di Malaysia.

"Sambutan ulang tahun tersebut akan diraikan dengan berbagai aktiviti yang lebih meriah dan menarik sepanjang Julai tahun ini.

"Pastikan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini, Best FM menjadi pilihan anda. Dengarkan kami di 104.1FM, 102.5FM dan 94.8FM. Ikuti kami di Instagram dan Facebook - Bestfm Malaysia. BestFm Terbaik Untuk Harimu!," katanya.