Pakar ekonomi setuju Anwar perkenal Naratif Ekonomi Madani

Gambar kecil: Noor Azlan Ghazali
Gambar kecil: Noor Azlan Ghazali
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan satu kerangka baharu, Naratif Ekonomi Madani yang bakal menjadi panduan dan hala tuju pembangunan ekonomi negara, dijangka menggantikan Wawasan Kemakmuran Bersama ( WKB).

Beliau berkata, masyarakat mesti bersama menyokong dasar dan inisiatif yang dirancang kerajaan untuk pembangunan negara, bukan kerana parti politik.

“Hampir empat tahun lepas, pada 2019, WKB dilancarkan sebagai dasar pembangunan untuk tempoh 10 tahun dari 2021-2030 disusuli Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) lalu digarap sebagai fasa pertama WKB, 2021-2025.

“Sejak 1970, lima dasar menjadi tunjang rancangan pembangunan jangka panjang negara; Dasar Ekonomi Baharu (DEB: 1970-1990), Dasar Pembangunan Nasional (DPN: 1991-2000), Dasar Wawasan Negara (DWN: 2001-2010), Dasar Transformasi Negara (DTN: 2011-2020), dan terakhir Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB: 2021-2030),” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Noor Azlan mengulas lanjut pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa Malaysia sememangnya memerlukan reformasi dan penstrukturan semula ekonomi ke arah negara bernilai tinggi, menjamin keselamatan sosial, mensejahterakan kehidupan rakyat serta melestarikan alam sekitar.

Menurutnya, pelaksanaan berkesan mengambil masa untuk membuahkan hasil, lazimnya sesuatu dasar meliputi tempoh bersesuaian dilaksanakan, dinilai dan disemak secara berkala sebelum yang baharu diperkenalkan sebagai kesinambungan pelan sebelumnya.

"Kerajaan harus menilai semula model perancangan jangka panjang pembangunan ekonomi dan mencari langkah untuk memastikan negara terus maju serta kalis terhadap perubahan kepimpinan ekoran suasana politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU14) pada 2018 membuka realiti baharu buat Malaysia.

“Sudah empat Perdana Menteri memimpin sejak PRU14, tidak lazim untuk Malaysia namun sebaliknya bagi kebanyakan negara luar seperti Amerika Syarikat, UK, Perancis, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

“Ada yang pertukaran teratur, termaktub dalam amalan sistem demokrasi atau berikutan kancah politik,” ujar beliau.

Selain itu, Noor Azlan turut menyatakan persoalan berkenaan pelaksanaan RMK12 akan berjalan seperti yang dirancang untuk tempoh lima tahun dan WKB kekal atau diganti dengan pelan Naratif Ekonomi Madani.

“Masih menjadi tanda tanya, kita akan lebih memahami pada Ogos nanti.

“Mungkin masih awal untuk mengucapkan selamat tinggal kepada WKB,” kata beliau dalam kenyataan sama.