48 kes kehamilan luar nikah setakat Mei di Kelantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan merekodkan sejumlah 48 kes kehamilan luar nikah membabitkan kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah setakat Mei tahun ini, kata Pengarahnya, Said Sidup.

Beliau berkata, pada 2021 kes kehamilan luar nikah di negeri ini ialah 26 kes sementara pada tahun lepas ia meningkat kepada 85 kes.

"Ini adalah data yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan kita tidak tahu kerana kadang-kadang keluarga merahsiakan kehamilan anak-anak atas pelbagai faktor.

"Walaupun peratusannya tidaklah terlalu besar berbanding negeri lain kerana kawalan yang dilakukan kerajaan negeri, namun kita bimbang kes sebegini akan meningkat memandangkan sudah terdapat 48 kes dalam tempoh tidak sampai setengah tahun ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Raudhah Sakeenah Kelantan 'Sepancar Sinar Segunung Harapan' di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan di sini hari ini.

Buku berkenaan menghimpunkan kompilasi perkongsian pengalaman enam kisah benar mangsa gejala sosial yang menjalani pemulihan di pusat jagaan Raudhah Sakeenah Kelantan.

Dalam pada itu, Said berkata, berdasarkan kajian kes yang dilakukan, kebanyakan mangsa terlanjur dengan pelaku yang dikenali termasuk menjadi mangsa sumbang mahram dengan bapa kandung, bapa tiri, adik beradik lelaki selain jiran dan kawan.

Katanya, antara faktor utama yang dikenal pasti termasuk penyalahgunaan gajet tanpa kawalan dan kegagalan institusi kekeluargaan.

"Kita harap ibu bapa atau keluarga mangsa yang terlanjur membuat laporan kepada JKM atau pihak berwajib yang lain agar mangsa mendapat perlindungan sewajarnya selain mengelak berlakunya kes pembuangan bayi," katanya.

Beliau berkata, JKM mengambil pelbagai inisiatif bagi mengekang penularan kes termasuk melalui pendedahan pendidikan seksual di peringkat sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) selain program bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain. - Bernama