9 maut keganasan baharu di Manipur, India

Askar tentera India meronda semasa operasi keselamatan di kawasan bukit dan lembah di Manipur. - Foto Reuters
Askar tentera India meronda semasa operasi keselamatan di kawasan bukit dan lembah di Manipur. - Foto Reuters
A
A
A

NEW DELHI - Sembilan orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam keganasan baharu di negeri Manipur di timur laut India, Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.

Pembunuhan berlaku semasa insiden tembakan malam Selasa di kawasan Khamenlok di daerah Kangpokpi, kira-kira 25 kilometer (km) timur laut Imphal, ibu kota Manipur.

"Berlaku tembakan di kampung... dan sembilan orang terbunuh dan 10 yang lain cedera. Kesemua mangsa cedera dibawa ke hospital dengan seorang dilapor kritikal," akhbar tempatan Hindustan Times memetik seorang pegawai kanan polis di Imphal East, K Shivakanta Singh.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa tempatan menggesa tentera kerajaan untuk memerangi pemberontak di kawasan itu.

Sementara itu, kelonggaran perintah berkurung telah dihadkan selepas keganasan baharu di Manipur.

Laporan menyebut lebih 100 orang maut manakala 40,000 lagi hilang tempat tinggal sejak tercetusnya keganasan sejak sebulan lalu. - Bernama