Singapura kecewa dengan kenyataan 'kiriman oksigen' Indonesia

SINGAPURA — Menteri Kanan Singapura, K Shanmugam pada Isnin melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan seorang pegawai Indonesia yang mendakwa bahawa Singapura memperoleh oksigen daripada hutan Indonesia ketika tiada jerebu.
Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai 'tidak wajar', terutama ketika penduduk di seluruh rantau ini sedang menanggung kesan kebakaran hutan.
Bagaimanapun, Shanmugam menyambut baik usaha Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam menangani krisis jerebu rentas sempadan.
Shanmugam yang memegang jawatan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
“Sejujurnya, kenyataan seperti ini tidak wajar dibuat ketika seluruh rantau ini sedang menanggung akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab syarikat-syarikat yang melanggar peraturan di Indonesia.
"Golongan yang paling teruk menderita akibat keadaan ini sebenarnya rakyat Indonesia sendiri. Kita tidak sepatutnya terpaksa menerima perkara seperti ini,” katanya ketika mengulas kenyataan pegawai berkenaan.
Kenyataan Shanmugam itu menyusul selepas Ketua Agensi Komunikasi Kerajaan Indonesia, Syahganda Nainggolan pada 10 Oktober lalu mempertahankan negaranya daripada kritikan berhubung masalah jerebu rentas sempadan.
Beliau dilaporkan berkata: “Kami bukan sekadar menghantar jerebu ke negara lain. Apabila tiada jerebu, kami menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia datang daripada hutan kami, betul?”
Beliau turut menyifatkan kebakaran hutan sebagai sesuatu yang 'di luar kesilapan manusia' dan merupakan fenomena semula jadi.
Bagaimanapun, Shanmugam menegaskan bahawa jerebu yang berpunca daripada pembakaran hutan sebenarnya boleh dicegah sepenuhnya.
Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah itu perlu dikenal pasti dengan jelas.
Mengimbas kembali episod jerebu yang melanda Singapura pada 2013 dan 2015, Shanmugam mengulangi pendiriannya bahawa masalah tersebut 'bukan sekadar fenomena alam', sebaliknya didorong oleh syarikat-syarikat yang mengejar keuntungan.
“Kita tidak menghadapi masalah ini selama beberapa tahun, tetapi kini ia kembali,” katanya.
Menurut Shanmugam, rakyat Singapura berasa amat kecewa dengan keadaan jerebu yang semakin buruk, dan kekecewaan itu sememangnya berasas.
“Jerebu ini menjejaskan kesihatan kita dengan serius,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kesannya amat membimbangkan golongan warga emas, kanak-kanak kecil dan individu yang mempunyai masalah kesihatan, selain turut menjejaskan masyarakat secara keseluruhan.
“Keadaan ini benar-benar tidak boleh diterima,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

