Perancis sedia perluas perintah berkurung

Pekerja majlis perbandaran membersihkan harta benda awam yang dimusnahkan perusuh di tengah Paris. - Foto AFP
Pekerja majlis perbandaran membersihkan harta benda awam yang dimusnahkan perusuh di tengah Paris. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Perancis akan melaksanakan perintah berkurung baharu di 'kawasan panas' pada Selasa susulan pelaksanaan sekatan pergerakan separa di beberapa bandar utama, termasuk Paris bagi membendung keganasan susulan rusuhan ganas pada akhir minggu lalu.

Perdana Menteri, Sebastien Lecornu berkata, pelaksanaan perintah berkurung pada malam sebelumnya telah membantu meredakan keadaan.

"Langkah serupa akan dikuatkuasakan berdasarkan situasi semasa. Keputusan itu bakal dibuat wakil kerajaan di wilayah masing-masing dengan kerjasama datuk bandar," ujarnya menerusi platform X.

Susulan situasi yang masih tidak menentu, Lecornu turut tidak menolak kemungkinan pengisytiharan darurat selepas Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez mengakui pasukan keselamatan 'hilang kawalan' kerana gagal menangani gelombang protes tersebut yang pada awalnya bertujuan untuk membantah kenaikan harga.

Pihak berkuasa memaklumkan perintah berkurung dikuatkuasakan dari malam Isnin hingga pagi Selasa di beberapa bandar termasuk Paris, Lille dan Lyon bagi melindungi premis perniagaan.

Di Paris, perintah berkurung bermula pada jam 11 malam (waktu tempatan), manakala sebarang perhimpunan dilarang berkuat kuasa jam 8 malam.

“Saya benar-benar bertekad untuk memulihkan ketenteraman awam,” tegas Lecornu.

Dalam perkembangan lain, Menteri Digital Perancis, Anne Le Henanff menggesa platform jual beli dalam talian memadamkan iklan barangan yang dirompak susulan kejadian penjarahan besar-besaran dilakukan kumpulan perusuh bertopeng.

Beliau turut bertemu wakil beberapa syarikat termasuk Vinted dan eBay bagi membincangkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin mengesahkan lebih 2,513 individu ditahan di seluruh negara dan seramai 67 orang dipenjarakan, manakala puluhan kes jenayah dibuka untuk siasatan.

Beliau memaklumkan pihak berkuasa akan menggunakan teknologi pengecaman wajah menerusi media sosial bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam rusuhan tersebut.

Siasatan awal mendapati kira-kira 3,000 premis perniagaan menjadi sasaran amukan perusuh bertopeng dan kerugian dianggarkan mencecah ratusan juta euro. - AFP

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!