Kebakaran hutan: Indonesia siasat 98 kes, syarikat negara jiran

JAKARTA – Indonesia sedang menyiasat 98 kes membabitkan syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah termasuk beberapa syarikat dari negara jiran.
Ketua Polis Nasional, Suyudi Ario Seto pada Isnin berkata, pihak penyiasat sedang mengumpulkan bukti dan dijangka mengenal pasti suspek dalam masa terdekat.
"Memang ada penglibatan pihak asing. Kami mungkin akan mengambil tindakan terhadap pemilik dan pemegang saham syarikat yang bertanggungjawab atas kebakaran itu," ujarnya sambil menambah mereka sedang meneliti kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan negara atau syarikat yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan tindakan pentadbiran telah dikenakan terhadap 32 syarikat berhubung kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan seluas 12,926,74 hektar.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman yang menghadiri mesyuarat Kabinet bersama Presiden Prabowo Subianto turut mengesahkan bahawa bantuan dari Singapura sedang dibincangkan melalui Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.
Indonesia telah memberikan maklum balas terhadap tawaran bantuan yang melibatkan tiga pesawat bersama 52 anggota bomba.
Beliau turut mempertahankan tindakan kerajaan menangani kebakaran itu menerusi operasi bersepadu yang menggerakkan 60,000 anggota dan 47 pesawat.
"Prabowo mengarahkan penambahan anggota tentera, polis dan petugas perhutanan serta operasi pemadaman menggunakan pesawat Hercules.
"Syarikat dan anggota keselamatan juga diarahkan memperkukuh pencegahan kebakaran melalui pembinaan telaga gerudi dan kemudahan simpanan air di kawasan berisiko," jelasnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

