Bekalan darah dijangka kurang ketika Aidiladha

Sebahagian penderma dan penganjur yang diraikan pada Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Negeri Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah pada Rabu.
Sebahagian penderma dan penganjur yang diraikan pada Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Negeri Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Stok bekalan darah untuk semua kumpulan darah di Kedah dijangka berkurangan ketika musim perayaan Hari Raya Aidiladha kelak.

Sehubungan itu, Ketua Perkhidmatan Transfusi Kedah, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir berkata, orang ramai diminta tampil menderma darah dan membantu mereka memerlukan.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata, pendermaan darah itu dapat memastikan bekalan darah mencukupi untuk musim cuti perayaan pada akhir bulan ini.

"Alhamdulillah, stok darah di Kedah kini berada pada paras baik dan selamat. Namun, kami menjangkakan stok darah dalam cuti perayaan pada hujung bulan ini menurun sedikit.

"Kita jangkakan stok semua kumpulan darah akan turun dan penderma kumpulan darah A digalakkan menderma kerana berlakunya sedikit pengurangan dari segi stok darah A disebabkan pesakit yang menggunakan darah itu di wad," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Negeri Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Rabu.

Menurut Dr Siti Nadiah, sebanyak 1,000 beg darah diperlukan setiap minggu oleh pesakit-pesakit di hospital.

"Hari ini, semua hospital daerah turut mengadakan program derma darah dan kita menjangkakan anggaran 600 beg darah dapat dikumpulkan, sekali gus mencukupi pada minggu ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar penderma darah terus menderma secara konsisten kerana keperluan darah adalah berterusan.

"Kita harap orang ramai untuk tampil terus menderma darah kerana beg-beg darah terbabit mempunyai jangka hayat tertentu," katanya.

Beliau memberitahu, orang ramai ingin menderma boleh melayari Facebook Rasmi Derma Darah Kedah- DDKP untuk melihat jadual program derma darah yang akan berlangsung berhampiran kawasan mereka.

"Selain itu, orang awam juga boleh terus ke Unit Pendermaan Darah hospital-hospital berkaitan pada waktu bekerja untuk menderma darah di sana," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, program berkenaan diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan para penderma dan penganjur pendermaan darah di seluruh Kedah.