Ringgit dibuka rendah sebab kurang permintaan

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu berikutan kekurangan permintaan walaupun Indeks Dolar AS (DXY) lebih rendah.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu berikutan kekurangan permintaan walaupun Indeks Dolar AS (DXY) lebih rendah.
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan kekurangan permintaan walaupun Indeks Dolar AS (DXY) lebih rendah, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.6190/6240 berbanding unit negara maju daripada 4.6115/6185 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan AS pada Mei berkemungkinan lebih rendah daripada jangkaan, membuktikan kadar inflasi AS semakin turun.

"Ini menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mempamerkan kredibiliti untuk mengurangkan inflasi selepas menaikan kadar dasar sebanyak 500 mata asas sejak Mac tahun lepas.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk Fed menilai semula tindakan mereka sebelum ini dan memungkinkan kadar inflasi turun tanpa perlu melaksanakan langkah memperketat monetari yang seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Sambil memaklumkan DXY susut sebanyak 0.3 peratus kepada 103.33 mata, beliau berkata ringgit diramal menerima rangsangan daripada kadar inflasi AS yang lebih rendah berikutan Fed mungkin menghentikan sementara kenaikan kadar dasar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS lewat malam ini.

"Petunjuk teknikal kesemuanya memaparkan bahawa ringgit dalam keadaan terlebih jual berbanding dolar AS, oleh itu, kita mungkin menyaksikan peningkatan ringgit hari ini,” kata Mohd Afzanizam.

IHP keseluruhan AS merosot kepada 4.0 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023, lebih rendah daripada anggaran konsensus 4.1 peratus.

Malah, IHP teras turut menyederhana kepada 5.3 peratus pada bulan tersebut daripada 5.5 peratus pada Mei 2022.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu turun berbanding pound Britain kepada 5.8246/8309 daripada 5.7953/8041 sewaktu ditutup pada Selasa dan susut berbanding euro kepada 4.9839/9893 daripada 4.9823/9898 semalam, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2983/3021 daripada 3.3043/3096 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4411/4453 daripada 3.4399/4454 pada Selasa, menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 310.7/311.2 daripada 310.2/310.8 semalam dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.28 daripada 8.24/8.26 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3155/3368 daripada 13.3442/3699 semalam. - Bernama