Mampukah UMNO gugat Pas di Terengganu?

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS negara melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu, enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ketika itu tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan kembali menghadapi ‘demam pilihan raya’ tidak lama lagi.

Suhu politik di Terengganu dilihat stabil dan Pas dilihat ke hadapan dengan kibaran bendera di sesetengah tempat walaupun tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) belum diumumkan lagi. Barisan Nasional (BN) juga mempunyai strategi yang tersendiri untuk mendapat sokongan rakyat melalui aktiviti dan program yang dilakukan bersama rakyat.

Secara umumnya, parti-parti dominan Pas dan BN dilihat telah bersedia untuk PRN dan telah merancang pelbagai aktiviti termasuk program bersama rakyat dan anak-anak muda serta telah menyusun jentera-jentera parti.

Jika diimbau kembali, Pas merampas Terengganu daripada BN dengan majoriti mudah selepas memenangi lebih separuh 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU14 pada tahun 2018.

Daripada keseluruhan 32 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 22 kerusi menjadi milik parti tersebut, 10 kerusi dimenangi BN manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula gagal mendapat sebarang kerusi.

Beberapa kerusi mencatatkan jumlah majoriti yang tinggi termasuk kerusi ditandingi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi.

Pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, secara asasnya kekuatan Pas dan UMNO hampir seimbang di Terengganu.

Menurut beliau, hanya marginal kecil yang akan menentukan siapa yang akan muncul sebagai pemenang.

“Pasca PRU14 sehingga kini, UMNO berdepan beberapa isu dalaman parti yang merencatkan sokongan terhadap mereka di akar umbi sehingga menyebabkan kehilangan undi yang begitu ketara pada PRU15.

“Pas mendapat keuntungan besar apabila hayunan (swing) undi penyokong UMNO tersebut beralih kepada mereka. Ditambah lagi apabila segmen Undi 18 menyokong Pas dalam PRU lepas,” ujar beliau.

Menguatkan lagi telahan itu, katanya, Pas kini kelihatan lebih selesa dengan tahap sokongan sedia ada, manakala UMNO perlu bekerja kuat untuk mengembalikan kepercayaan pengundi-pengundi teras untuk memberi undi.

Ujar beliau, bergantung sejauh mana pemimpin akar umbi boleh menjelaskan secara rasional sebab perlu membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Pas ada kelebihan menjelang PRN ini, namun masih terlalu awal untuk mendakwa akan menyapu bersih semua kerusi kerana politik mutakhir ini agak dinamik, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

“Situasi PRN dan PRU agak berbeza, tidak boleh sepenuhnya menjangka keputusan PRN kali ini berdasarkan pola undi dalam PRU November lepas,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussin Yusri Zawawi berkata, kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi kekuatan kepada parti Islam itu.

Ujar beliau, ketokohan dan keilmuan Ahmad Samsuri yang secara langsung memberi kelebihan kepada kepimpinan pentadbiran parti itu untuk diterima rakyat Terengganu.

“Selain itu, dasar dan janji manifesto yang dijanjikan oleh Pas telah dilaksanakan secara keseluruhannya di Terengganu,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, BN juga mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak boleh dinafikan di bawah kepimpinan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam mempertahankan Terengganu pada PRU12 dan PRU13.

“Perlu diingatkan, BN turut mempunyai suara akar umbi yang kukuh dalam mempertahankan Terengganu pada PRN nanti.

“UMNO di Terengganu sangat berbeza di negeri-negeri yang lain. Sentimen agama, kaum juga menjadi perhatian utama ke arah sokongan rakyat Terengganu,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beberapa isu dilihat berpotensi menggugat pentadbiran Pas dan sudah pasti dijadikan modal politik parti lawan pada PRN ini.

Antaranya melibatkan isu politik wang yang heboh PRU15 lalu dan isu tanah kerajaan yang didakwa dijual kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

*Norhaspida Yatim ialah Wartawan Sinar Harian Terengganu