PRN: Eizlan Yusof hargai pandangan semua pihak

Eizlan (lima dari kanan) bersama ahli Pas ketika mengumumkan penyertaan bersama parti itu pada Ahad.
Eizlan (lima dari kanan) bersama ahli Pas ketika mengumumkan penyertaan bersama parti itu pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof menghargai pandangan semua pihak termasuk kemungkinan namanya tersenarai sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihanraya Negeri (PRN).

Bagaimanapun Eizlan berkata, buat masa ini, beliau lebih fokus untuk bersama-sama Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa selain memberi tumpuan kepada perjuangan Pas yang baharu disertainya pada Ahad.

Katanya, penyertaannya di dalam Pas disambut baik beberapa figura politik termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

"Saya fokus melaksanakan tanggungjawab bersama MN atas kepercayaan diberikan Tan Sri Annuar dan perjuangan kami bersama Pas tanpa syarat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Eizlan yang juga Ketua Penerangan MN Selangor memberitahu, beliau yakin prinsip diperjuangkan Pas dalam membela dan menegakkan hak orang Islam serta Melayu.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Mohd Amar menyifatkan penyertaan Annuar dan Eizlan memberi impak besar dan boleh meningkatkan sokongan pengundi Pas.

Bagaimanapun, parti itu belum membincangkan peluang dua individu berkenaan untuk bertanding pada PRN Kelantan.

Selain Annuar dan Eizlan, bekas Setiausaha Sulit kepada bekas Menteri Luar, Datuk Fyzal Fauzy; penyanyi, Dayangku Intan dan peserta Pencetus Ummah (PU) Raihan turut mengumumkan kemasukan ke dalam Pas.

ARTIKEL BERKAITAN:

Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof

Takiyuddin sahkan Eizlan Yusof sertai Pas

Sertai Pas, Eizlan Yusof mahu berjuang bersama Annuar

Eizlan Yusof bakal masuk Pas?