Sertai Pas, Eizlan Yusof mahu berjuang bersama Annuar

Annuar (kiri) yang juga Pengerusi MN memberi aspirasi dan inspirasi kepada Eizlan untuk sama-sama berjuang.
Annuar (kiri) yang juga Pengerusi MN memberi aspirasi dan inspirasi kepada Eizlan untuk sama-sama berjuang.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof akhirnya menjawab teka-teki sejak beberapa hari lalu apabila secara rasmi mengumumkan menyertai Pas.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya sempena Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Dataran D’Cattleya, Senawang pada Sabtu.

Menurut Eizlan, keputusan untuk menyertai Pas adalah atas dasar keyakinan terhadap wadah perjuangan parti itu.

“Saya sertai Pas kerana saya percaya perjuangan yang dibawa Pas bukan sekadar retorik dan parti ini bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan," katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Ahad.

Jelas Eizlan yang juga Ketua Penerangan MN Selangor, pengalaman politik lebih 50 tahun Annuar yang juga Pengerusi MN memberi aspirasi dan inspirasi kepadanya untuk sama-sama berjuang.

"Malah selama saya bersama-sama Tan Sri (Annuar Musa) di dalam MN, saya melihat kesungguhan beliau mahu menyatupadukan rakyat dan perjuangkan Islam dan Melayu tanpa mengetepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan sama Eizlan dan Annuar, Pas turut menerima keahlian baru lebih 3,000 orang dari seluruh negara termasuk Datuk Fyzal Fauzy yang juga mantan Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Luar, PU Raihan dan penyanyi, Dayangku Intan.