Mangsa penipuan pelaburan diugut pihak ketiga

Hishamuddin (tengah) menyerahkan surat aduan kepada Muhammed Hasbullah (kiri) sambil disaksikan Musa (kanan) di Menara KPJ pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hishamuddin (tengah) menyerahkan surat aduan kepada Muhammed Hasbullah (kiri) sambil disaksikan Musa (kanan) di Menara KPJ pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyifatkan campur tangan pihak ketiga dalam memberi tekanan kepada mangsa untuk menarik balik laporan polis dilihat sebagai tindakan keterlaluan dan mencabuli hak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, terdapat sebilangan mangsa skim kutu yang dikenali sebagai Program Sapiza Saving Extra dihubungi pihak ketiga yang meminta agar laporan polis ditarik balik.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan pihak tertentu itu adalah mengugut dan memberi tekanan kepada mangsa.

Tegas beliau, perkara seumpama itu sama sekali tidak boleh dilakukan kerana ia satu perbuatan salah kerana mengganggu saksi.

"Sama sekali tidak boleh ada pihak yang membuat ugutan dan memberi tekanan kepada mangsa.

"Sekiranya (perkara) ini berlaku, mangsa atau saksi boleh membuat laporan polis kerana diganggu," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 40 surat aduan mangsa skim berkenaan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara 238, Jalan Tun Razak, dekat sini.

Surat aduan itu diterima oleh Timbalan Pengarah JSJK, Datuk Muhammed Hasbullah Ali.

Hadir sama Penasihat Strategik MHO, Tan Sri Musa Hassan dan Penasihat Undang-Undang MHO, Riza Khalid.

Musa (tiga dari kanan) menyerahkan surat aduan kepada Muhammed Hasbullah di Menara KPJ pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Musa (tiga dari kanan) menyerahkan surat aduan kepada Muhammed Hasbullah di Menara KPJ pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Hampir 40 mangsa Program Sapiza Saving Extra hadir mengadu dan meminta bantuan MHO menyelesaikan kes penipuan tersebut.

Dianggarkan ribuan mangsa menjadi penipuan tersebut dengan nilai dianggarkan sekitar RM5 juta.

Perancang utama penipuan pelaburan tersebut sebelum ini telah ditahan reman bagi membantu siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, selain diugut, mangsa penipuan program terbabit mendakwa berdepan keresahan dan kebimbangan berhubung perkembangan siasatan kes tersebut.

Menurut beliau, mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung penipuan itu sejak lima bulan lepas, namun sehingga kini mereka masih tidak mengetahui perkembangan siasatan kes terbabit.

Jelasnya, menerusi Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah iaitu selepas 14 hari, pengadu boleh memohon supaya diberi perkembangan terbaharu.

"Ada antara mangsa berasa sedikit resah kerana masih tidak mengetahui perkembangan terkini berhubung siasatan kes penipuan itu.

"Oleh sebab itu, mereka hadir pada hari ini melalui MHO untuk menghantar surat aduan kepada pihak JSJK.

"Mereka mahu kes penipuan itu disiasat, seterusnya keadilan dapat diangkat dan wang dikembalikan," katanya.

Selain itu tambahnya, mangsa yang mendapatkan khidmat nasihat MHO bersetuju untuk memberikan penyataan keterangan tambahan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan penipuan pelaburan terbabit.