JKKP Pahang ikrar bebas rasuah

Ahmad Fauzi (tengah) bersama warga kerja JKKP menandatangani IBR bersama SPRM Pahang sebagai tanda bebas rasuah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam di Pejabat JKKP Pahang di sini.
Ahmad Fauzi (tengah) bersama warga kerja JKKP menandatangani IBR bersama SPRM Pahang sebagai tanda bebas rasuah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam di Pejabat JKKP Pahang di sini.
A
A
A

KUANTAN - Warga kerja Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang diminta menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah yang boleh mencemarkan imej diri, keluarga dan jabatan khususnya.

Pengarahnya, Ahmad Fauzi Awang berkata, amalan berunsur rasuah bukan sahaja menyebabkan imej tercalar, tetapi persepsi dan kepercayaan masyarakat terhadap sebuah organisasi turut terjejas.

Menurutnya, bagi menangani perilaku itu, JKKP menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Program yang kita adakan hari ini merupakan satu wadah terbaik agar kita sentiasa menjauhi diri daripada melakukan amalan itu (rasuah). Rasuah mungkin berlaku tanpa melibatkan duit, tetapi melalui perkara lain seperti penerimaan sumbangan, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

"Sejak kebelakangan ini, banyak laporan media massa berkaitan tangkapan dan pendakwaan pihak SPRM berkaitan jenayah rasuah dalam kalangan penjawat awam dan swasta. Ia bukan sahaja melibatkan pegawai peringkat atasan malah turut membabitkan kumpulan pelaksana. Perbuatan ini menyebabkan kepercayaan masyarakat terjejas kepada sesuatu organisasi.

"Saya percaya dan yakin semua warga JKKP Pahang dapat menjauhi perbuatan ini demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan JKKP khususnya.

"Saya juga mengharapkan semua warga JKKP Pahang sentiasa menekankan nilai-nilai murni dalam pentadbiran awam," katanya.

Sebelum itu, seramai 73 pegawai JKKP Pahang bersama pegawai SPRM terlibat dalam program ceramah integriti dan majlis IBR di Pejabat JKKP di sini.

Hadir sama, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pahang, Shazleen Md Noh.

Beliau menjelaskan JKKP tidak mempunyai peranan langsung dalam melawan rasuah, tetapi mereka tetap melaksanakan tanggungjawab dalam pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Bagaimanapun, ujar Ahmad Fauzi, dalam usaha melawan rasuah dalam sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil seperti pematuhan udang-undang, pendidikan dan kesedaran.

"Selain itu, pengawasan dan pemeriksaan yang ketat perlu dikuatkuasakan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Ini boleh melibatkan audit dalaman, pemeriksaan rutin, dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam tindakan rasuah," katanya.

Beliau menambah, saluran komunikasi yang selamat, terjamin untuk pekerja perlu diwujudkan dan orang awam perlu melaporkan sebarang tindakan rasuah atau penyelewengan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan.

"Langkah seterusnya ialah whistleblowing. Ia boleh memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dan menggalakkan pendedahan yang berkesan.

"Yang terakhir ialah kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti SPRM. Ini bagi melawan rasuah dalam semua sektor termasuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kerjasama yang baik dapat memastikan penambahbaikan dalam pematuhan undang-undang dan penangkapan tindakan rasuah," jelas beliau.