Naik taraf KLIA dijangka bermula 2026

Rancangan untuk menaik taraf KLIA dijangka bermula pada 2026.
Rancangan untuk menaik taraf KLIA dijangka bermula pada 2026.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rancangan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka bermula pada 2026 apabila kapasiti terminal mencecah 90 peratus, kata Kementerian Pengangkutan.

Katanya, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) pada 2019 telah melantik perunding untuk membangunkan Kajian Pelan Induk KLIA bagi tempoh 30 tahun sehingga 2050.

Kajian Pelan Induk tersebut merangkumi keperluan pembangunan yang melibatkan dua fasa bagi menampung keperluan pertambahan sehingga 140 juta penumpang setahun (million passengers per anum - mppa) dan keperluan kargo sehingga 2.5 juta tan setahun.

Kementerian itu berkata, Terminal 1 KLIA telah direka bentuk untuk menampung sehingga 30 mppa, manakala Terminal 2 KLIA pula sebanyak 45 juta mppa.

"Berdasarkan unjuran pergerakan penumpang oleh MAHB, kapasiti di Terminal 1 akan dicapai pada tahun 2030 manakala Terminal 2 pula menjangkau melebihi tahun 2030,” katanya dalam jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Pada 2019, Terminal 1 telah merekodkan sebanyak 29.2 mppa manakala Terminal 2 sebanyak 33 mppa.

Walau bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada 2020, menyebabkan pergerakan penumpang di KLIA terjejas dan mengalami penurunan yang amat drastik sehingga 90 peratus (2.1 mppa) iaitu di Terminal 1 dan 96 peratus (1.8 mppa) di Terminal 2 pada 2021.

Buat masa ini, MAHB sedang menaik taraf Sistem Transit Trek (TTS) dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) yang dijangka siap pada penghujung 2025 bagi kemudahan penumpang domestik dan antarabangsa di KLIA.

Mengenai status kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP), Kementerian Pengangkutan berkata, ia dijangka siap pada akhir tahun ini.

Kajian ini antara lainnya bertujuan menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang di Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur fizikal, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang itu dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan sebenar mengikut data yang sahih dan tepat.

"Kajian ini akan turut meneliti beberapa cadangan pembinaan lapangan terbang baharu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bagi menentukan kebolehlaksanaan dan kemampanan sesebuah projek tersebut secara holistik.

"Pihak KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd selaku syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Kedah telah mengemukakan hasil kajian kebolehlaksanaan KXP untuk penelitian kementerian yang meliputi dua laporan iaitu Laporan Teknikal dan Komersial,” tambahnya. - Bernama