FIH batal penggantungan tambahan 12 bulan dikenakan MHC

 Megat Shahriman
Megat Shahriman
A
A
A

PEMILIK Hockademy, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, mendakwa Suruhanjaya Kehakiman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membatalkan penggantungan tambahan 12 bulan dikenakan terhadapnya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini.

Megat Shahriman berkata, Pengerusi Suruhanjaya Kehakiman FIH, Dr Stephan Netzle serta dua ahli panel - Urvasi Naidoo dan Eduardo Guelfand, yang bertindak atas rayuannya berhubung hukuman tersebut pada Oktober lalu, turut mengarahkan MHC membayar kos prosiding keseluruhannya berjumlah CHF3,500 (RM68,960) kepada pihaknya dan FIH.

Beliau berkata, episod penggantungannya bermula apabila Jawatankuasa Tatatertib MHC mendakwanya melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia 2020 selepas membuat kenyataan media mengenai kelewatan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan Liga Hoki Malaysia (MHL).

Beliau digantung 18 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa mulai 3 November 2020 yang juga perintah penggantungan pertama.

"Tidak cukup dengan itu, pihak MHC sekali lagi mendakwa saya melanggar perintah penggantungan pertama tersebut apabila saya didakwa oleh MHC berdasarkan penglibatan saya dalam sidang temu ramah dalam talian bersama bekas pemain hoki Pakistan, Shahbaz Ahmad.

"Selain itu, kegagalan saya untuk memperbetulkan maklumat surat Bremer Hockey Club kepada Menteri Belia dan Sukan yang menggelarkan saya sebagai Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur.

"Oleh itu, saya telah digantung sebagai hukuman tambahan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti hoki," katanya dalam, satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, Suruhanjaya Kehakiman FIH juga menyatakan beberapa perkara dalam alasan penghakiman, antaranya, walaupun rayuan diadili berkaitan perintah penggantungan kedua, Panel FIH melihat kejanggalan keputusan perintah penggantungan pertama terlalu tegas dan tidak munasabah apabila sekadar bertanyakan isu berkaitan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan MHL.

Megat Shahriman berkata, Panel FIH juga menyatakan keputusan perintah penggantungan pertama tidak berpatutan memandangkan kesalahan dilakukannya hanyalah kesalahan kecil yang tidak sama sekali memberi sebarang impak negatif kepada sukan hoki.

Menurutnya, Panel FIH juga menyatakan bahawa penglibatannya dalam sesi temu ramah dalam talian bersama Shahbaz bukanlah tindakan salah yang membolehkan hukuman berat dijatuhkan kepadanya.

"Panel FIH juga menyatakan bahawa pihak MHC telah gagal untuk mengambil kira keseriusan kesalahan dan faktor mitigasi yang dinyatakan mengikut Perkara 27.2.2 Kod Integriti FIH apabila fakta jelas menunjukkan penglibatan saya dalam temu ramah bersama Shahbaz Ahmad tidak mempunyai sebarang potensi untuk dijatuhkan sebarang hukuman.

"Panel FIH juga menegur MHC untuk tidak boleh menjatuhkan sebarang hukuman berat kepada individu tanpa dipertimbangkan keseriusan kesalahan, hukuman yang bersekadar, impak kepada sukan hoki dan pilihan hukuman lain yang lebih bersesuaian," katanya.

Berdasarkan kepada dapatan Suruhanjaya Kehakiman FIH tersebut, Megat Shahriman berkata, ia jelas menunjukkan bahawa beliau menjadi mangsa kepada sistem perundangan MCH yang sebelum ini begitu konsisten menghalang penglibatannya dalam sukan hoki negara.

Katanya, keputusan Suruhanjaya Kehakiman FIH memberi tamparan hebat kepada pentadbiran sukan hoki supaya akur kepada piawaian asas prosiding tatatertib dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa menepati ciri-ciri asas keadilan sejagat dan keadilan prosedur. - Bernama