Heret dalang di sebalik tuntutan waris Sulu ke muka pengadilan

Tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah mungkin didalangi oleh rakyat negara ini.
Tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah mungkin didalangi oleh rakyat negara ini.
A
A
A

KUMPULAN yang didakwa sebagai waris Kesultanan Sulu dilihat terus menekan kerajaan dengan menuntut bayaran sebanyak AS$16 bilion atau bersamaan RM73.46 bilion termasuk caj tuntutan daripada Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan waris Sulu mungkin dipergunakan negara Barat bagi menuntut kerajaan Malaysia membayar tuntutan tidak masuk akal mereka.

Menurut Azalina, mereka semakin berani apabila mendakwa bukan sahaja mempunyai hak ke atas Sabah malah berhak ke atas tuntutan dari Malaysia.

Pada 6 Jun, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan itu bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Berdasarkan tindakan terbaharu waris Sulu itu, Azalina berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan ada rakyat Malaysia yang menjadi dalang terhadap tuntutan kumpulan Sulu yang cuba mengganggu gugat aset dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Kerajaan Sabah menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengambil langkah terbaik dalam mengemukakan bantahan terhadap tuntutan kumpulan Sulu.

Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, terpulang kepada Peguam Negara sama ada mahu memfailkan bantahan berhubung perkara itu di Mahkamah Tinggi Borneo atau mana-mana mahkamah lain yang kompeten.

Sementara itu Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pula kekal berpandangan kerajaan perlu mengambil semua langkah proaktif yang difikirkan sesuai dengan segera demi menjaga kepentingan negara dan aset milik Malaysia, termasuk berhubung tuntutan kumpulan Sulu.

Manakala, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar, mencadangkan jika kerajaan membawa kes tuntutan Sulu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), ia dianggap lebih kompeten dan kuat.

Ini kerana menurut Junaidi, keputusan yang dikeluarkan oleh ICJ kelak akan dihormati mahkamah di negara lain, berbanding sekiranya dikeluarkan mahkamah di Malaysia yang boleh diabaikan oleh mana-mana negara pun.

Walau apa pun keputusannya, isu ini harus diselesaikan segera dengan mengheret mereka yang menjadi dalang di sebalik tuntutan tidak waras berkenaan ke muka pengadilan kerana ianya bukan sahaja memburukkan imej malah menggugat kedaulatan negara.