14,858 calon tidak hadir duduki SPM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti mengenai isu ketidakhadiran seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi menduduki peperiksaan itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang meneliti data ketidakhadiran calon sekali gus mencari mekanisme sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau percaya terdapat banyak faktor dan punca yang mengakibatkan pelajar terlibat tidak hadir menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas.

"KPM sedang meneliti faktor-faktor ini supaya kita dapat kenal pasti dan membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran itu lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

"Saya fikir banyak faktor dan ia pastilah faktor yang begitu mendesak sehingga dia (calon SPM) tidak dapat hadir untuk mengambil peperiksaan tersebut. Jadi, ia perlukan penelitian," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah di sini pada Ahad.

Fadhlina Sidek (dua dari kanan) mendengar penerangan ketika lawatan ke SMJK Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah pada Ahad.
Fadhlina Sidek (dua dari kanan) mendengar penerangan ketika lawatan ke SMJK Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah pada Ahad.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew dan ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Beliau berharap, kementeriannya diberi masa untuk meneliti perkara ini, sekali gus membuat intervensi sewajarnya bagi menyelesaikan isu ketidakhadiran calon SPM ini.

Ketika diminta mengulas peningkatan jumlah ketidakhadiran calon SPM 2022 berbanding SPM 2021 sama ada membimbangkan, beliau berkata, perkara ini bergantung kepada hasil penelitian yang diperoleh selepas ini.

"Calon kita ini pelbagai, ada calon bukan sahaja di bawah sekolah KPM, ada juga calon-calon persendirian dan sebagainya. Jadi, kita perlukan pecahan yang lebih teliti untuk pastikan kenapa ia berlaku,"katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah calon layak dapat sijil didapati meningkat apabila mencapai lebih 90 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Fadhlina turut mengulangi kenyataan bahawa KPM sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang ranking sekolah terbaik SPM 2022, malah menyifatkan tiada keperluan mengumumkan ranking itu.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.